Lebih 30 jemaah umrah Malaysia terkandas di Mekah

LEBIH 30 jemaah umrah dari Malaysia yang dijadual pulang ke tanah air tiga hari lepas berhadapan pengalaman pahit apabila masih terkandas di Arab Saudi.

Seorang jemaah yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Am, 40-an berkata, mereka sepatutnya dijadualkan berlepas pulang ke Malaysia, 4 Mac lalu.

Namun katanya, perancangan itu tergendala apabila penerbangan pulang telah ditunda kepada 6.40 petang Selasa (waktu Malaysia 11.40 malam).

“Kami mula terkandas setelah daftar keluar dari sebuah hotel di Mekah pada Sabtu lepas. Kemudian, kami dipindahkan ke sebuah hotel lain dari 4 hingga 5 Mac, sebelum dipindahkan pula ke sebuah hotel bajet di Jeddah dari 5 hingga 7 Mac.

“Secara keseluruhannya, kami terkandas selama tiga hari sehingga saya terpaksa melanjutkan tempoh cuti disebabkan terkandas di sini,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Cik Am memaklumkan, terdapat tiga rombongan yang berlepas ke tanah suci dari 21 hingga 23 Februari lepas di bawah khidmat syarikat pengurusan umrah terbabit

Katanya, jemaah yang datang pada 21 Februari dan 23 Februari telah mendapat tiket pulang ke tanah air selepas selesai mengerjakan umrah.

Menurut Cik Am, mereka yang merupakan peserta dari kumpulan yang datang pada 22 Februari baru sahaja menerima tiket untuk pulang pada Selasa.

Lebih mengecewakan, Cik Am mendakwa, mereka tidak diberikan penjelasan lanjut oleh syarikat pengurusan umrah terbabit tentang punca terkandas di Mekah.

Katanya, kebanyakan jemaah terdiri daripada warga emas termasuklah ada berkerusi roda terpaksa pindah hotel beberapa kali dalam tempoh semasa menunggu tarikh dan masa penerbangan untuk pulang ke Malaysia.

“Kami semua kini bukan sahaja letih, malah amat sedih dan tertekan dengan keadaan ini,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *