70 peratus aset, dana 1MDB dikembalikan – Azam Baki

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, RM28.93 bilion iaitu lebih 70 peratus aset dan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dapat dikembalikan sehingga kini.

“SPRM merupakan agensi utama dalam membantu kerajaan untuk mendapatkan kembali aset 1MDB.

“Sehingga kini, sebanyak RM28.93 bilion, lebih 70 peratus daripada aset dapat dikembalikan dalam kes 1MDB ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menghadiri majlis tandatangan persefahaman antara SPRM, Universiti Teknologi Malaysia Mara dan Institut Akauntan Malaysia di Putrajaya hari ini.

Katanya, aset dan dana terbaharu ditemui ialah AS$1.8 bilion (RM8 bilion) berikutan penyelesaian mengenai pertikaian mereka dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS (Aabar PJS).

Pihaknya menganggarkan kira-kira 70 peratus daripada aset dan dana telah diperoleh semula.

Azam berkata, SPRM adalah antara agensi utama yang ditugaskan untuk mendapatkan semula aset dan dana milik 1MDB.

“Kita telah memainkan peranan penting dalam usaha mendapat semula (dana dan aset) termasuk menjalankan siasatan, membuat tangkapan dan mendakwa mereka yang terlibat dalam 1MDB,” ujar beliau.

SPRM katanya, terutama bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram telah memainkan peranan penting sepanjang usaha mendapatkan semula aset tersebut.

Tambahnya, usaha untuk mendapatkan semula aset dan dana 1MDB lain masih diteruskan.

“Kita akan melakukan yang terbaik untuk mendapatkan semula sebanyak mungkin dana aset berkenaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji usaha penjawat awam terutamanya Jabatan Peguam Negara dan SPRM merujuk kepada kejayaan itu.

Pemerolehan semula dana dari dua firma pelaburan IPIC dan Aabar PJS sebagai kejayaan besar.

Anwar dilaporkan berkata, kejayaan itu juga menunjukkan kepakaran dan ketrampilan pegawai kerajaan sedia ada tanpa perlu bergantung kepada perunding atau konsultan.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan baru-baru ini memaklumkan dua firma pelaburan itu bersetuju membayar AS$1.8 bilion kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan 1MDB.

Kementerian Kewangan memaklumkan penyelesaian itu dicapai dalam prosiding undang-undang yang berlangsung di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London dan Mahkamah Tinggi London.

Dengan penyelesaian ini, Malaysia dan Abu Dhabi berharap untuk terus bekerjasama demi kemakmuran dan faedah ekonomi kedua-dua negara pada masa hadapan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *