TIGA orang dilaporkan terbunuh dalam kejadian dua bot bertembung di perairan berdekatan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 9 malam itu melibatkan sebuah bot membawa 17 penumpang bersama seorang tekong dari arah Lumut ke Pulau Pangkor yang berlanggar dengan sebuah lagi bot membawa dua penumpang serta seorang tekong.
Lapor Harian Metro, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada pukul 9.17 malam.
Katanya, polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Manjung serta dibantu TLDM kemudian bertindak melakukan misi mencari dan menyelamat mangsa.
“Akibat pertembungan itu, 10 penumpang bot dari arah Lumut ke Pulau Pangkor jatuh ke dalam laut dan kemudiannya diselamatkan oleh kedua-dua tekong bot terbabit. Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Laut (HAT) untuk mendapatkan rawatan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Nor Omar berkata, pihak HAT memaklumkan tiga mangsa wanita berumur linkungan antara 26 hingga 43 tahun meninggal dunia dan dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Seorang lagi wanita berumur 43 tahun sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) manakala 17 orang mangsa lagi dirawat sebagai pesakit luar,” katanya lagi.
Menurutnya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Leave a Reply