Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan pengosongan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang milik parti itu adalah satu penyalahgunaan kuasa dan jelas bermotif politik.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan DUN Pulau Pinang tidak menghormati lunas-lunas demokrasi serta dilihat sebagai satu pencabulan undang-undang.
“Hak demokrasi rakyat dan pengundi telah dinafikan. Ini adalah suatu rampasan kuasa pengundi oleh DUN Pulau Pinang dengan berselindung di sebalik undang-undang.
“Walaupun Bersatu menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang menolak permohonan keempat-empat ADUN ini, kami dinasihatkan dan mempercayai bahawa mahkamah telah terkhilaf dalam menafsirkan pemakaian Artikel 14A ke atas mereka.
“Bersatu telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Persidangan DUN Pulau Pinang hari ini meluluskan usul pengisytiharan kekosongan empat kerusi yang diwakili ADUN Bersatu mengikut Fasal 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.
Speaker DUN, Datuk Law Choo Kiang mengesahkan keputusan itu dicapai selepas selesai sesi perbahasan dengan sokongan majoriti ADUN.
ADUN dan kerusi terbabit adalah Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya), Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md. Lazim (Telok Bahang).
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, mereka terutama Khalid Mahtab Zolkifly Lazim tidak pernah melakukan apa-apa perkara yang boleh menyebabkan kerusi mereka perlu dikosongkan dibawah Artikel 14A.
“Kedua-dua YB ADUN BERSATU ini tidak pernah pada bila-bila masa meletak jawatan atau dipecat daripada parti Bersatu atau telah menyertai parti politik lain. Mereka kekal sebagai ahli Bersatu sehingga kini,” katanya.
Leave a Reply