Bapa mertua maafkan menantu walaupun anak ditembak mati, reda ketentuan Allah

WALAUPUN agar sukar menerima kenyataan, namun bapa kepada seorang mangsa yang maut akibat tembakan oleh suaminya sendiri reda dengan ketentuan Allah dan memaafkan menantunya yang merupakan seorang anggota polis.

“Terus terang, saya memaafkan apa yang dia (menantu) lakukan dan terima ujian ini seadanya kerana saya sudah anggapnya macam anak saya sendiri.”

Begitulah luahan ikhlas Salleh Eizan, 63, yang juga bapa kepada suri rumah Allahyarham Safsufarnisya Salleh, 26, yang maut selepas ditembak oleh suaminya yang juga anggota polis berpangkat Lans Koperal di kediaman mereka di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, Kangar hari ini.

Salleh berkata, walaupun pada mulanya dia agak sukar untuk menerima dengan apa yang berlaku terutama membabitkan kehilangan nyawa anaknya, dia akhirnya pasrah dan reda dengan ketentuan Ilahi.

“Ketika kejadian berlaku, saya susah untuk terima keadaan ini namun hari ini saya sedikit demi sedikit mula menerima keadaan yang berlaku dan redha dengan kehendak Allah.

“Saya juga sudah menganggap menantu (suspek) sebagai anak saya sendiri jadi segala apa yang berlaku itu, saya maafkan,” katanya memetik laporan BH Online.

Sementara itu, isteri Salleh, Che Mas Taha, 63 berkata, selepas kejadian yang berlaku itu, dia dan keluarganya ada membuka almari pakaian di bilik anak bongsunya itu dan terkejut apabila terdapat beberapa pakaian bayi tersimpan kemas dalam plastik dalam almari itu.

“Adik (Safsufarnisya) dengan suaminya, rupa-rupanya sudah menyediakan kelengkapan menyambut kelahiran bayi sulung mereka tanpa pengetahuan kami.

“Memang kami tahu Adik sedang hamil tetapi kami tidak pula tahu bila mereka beli baju dan seluar bayi ini malah apabila melihatnya baju dan seluar bayi itu kami menjadi sedih dan sayu teringatkan Adik,” katanya.

Selain itu juga, seorang kakak mangsa, Safsuzafira, 37 mendedahkan bahawa adik bongsunya itu ada menulis di cermin meja solek di bilik pasangan itu dengan gincu yang tertera ‘Welcome Junior Ijat’ sebagai menandakan kehamilan anak sulung pasangan itu.

Terdahulu, Salleh dan Che Mas menerima kehadiran Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain bersama Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad yang meluangkan masa selama 30 minit berkunjung ke rumah mereka dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga berkenaan.

Turut hadir adalah Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Ru’sele Eizan yang juga adalah bapa saudara mangsa, pimpinan kanan Polis Perlis dan Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop.

Jenazah Safsufarnisya dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Putra, Simpang Empat, Kangar selepas Isyak semalam.

Semalam, Safsufarnisya yang juga suri rumah maut selepas ditembak oleh suaminya yang juga anggota polis berpangkat Lans Koperal di Simpang Empat, Kangar.

Kejadian berlaku sekitar pukul 6 pagi di dalam sebuah bilik di kediaman pasangan terbabit di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat.

Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 12 Mac hadapan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *