Wee kecewa makanan mangsa banjir kurang kualiti, lewat dihantar

BEKAS menteri Kabinet, Datuk Seri Wee Ka Siong terkilan dengan kualiti makanan dihantar kepada mangsa banjir dan meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menambah baik pengurusan di pusat pemindahan sementara (PPS) terutama berkaitan penyediaan makanan.

Kritikan dibuat Parlimen Ayer Hitam itu selepas beliau melawat beberapa PPS di kawasannya dan mendapati makanan yang dihidangkan kepada mangsa banjir kurang berkualiti.

Beliau berkata, terdapat juga dakwaan mangsa banjir bahawa mereka
diberikan kuantiti makanan yang sedikit tidak kurang juga ada di antara mereka menerima nasi mentah.

Malah katanya, makanan yang dihantar juga lewat tiba ke PPS dengan sarapan pagi hanya disediakan selepas 11 pagi, manakala ada mangsa banjir yang menikmati makanan tengah hari selepas 2 petang.

“Saya terkilan melihat makanan yang dihantar pihak berkuasa. Inilah kualiti sarapan pagi yang dihantar. Orang makan pagi tapi dihantar pukul 11 (pagi).

“Ini pula makanan tengah hari, lauknya begitu sedikit saja. Jadi saya memang kecewa dan saya nampak ini tidak dibuat dengan baik,” katanya, lapor Malaysiakini.

Wee berkata demikian dalam rakaman video pendek sambil menunjukkan dua bungkusan mihun goreng dan nasi putih yang bersama seketul ayam berkuah.

Video yang dimuat naik di Facebook Wee petang tadi dirakam ketika beliau melawat sebuah sekolah di Taman Kota, Yong Peng.

PPS berkenaan menempatkan kira-kira 375 mangsa banjir daripada 105 keluarga.

Wee yang juga presiden MCA, mendakwa situasi yang sama dihadapi beberapa PPS di Ayer Hitam dan menyebabkan ramai mangsa banjir kelaparan akibat makanan dihantar lewat.

Justeru Ahli Parlimen BN itu mencadangkan Jabatan Kebajikan Masyarakat membenarkan gotong royong dilakukan orang ramai untuk memasak makanan mereka sendiri.

“Saya juga mengatakan bahawa jika kontraktor penyedia makanan tidak mampu memikul amanah ini, lebih baik diberikan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat.

“Biarlah mereka bergotong royong memasak dengan menggunakan barangan keperluan yang telah pun saya sediakan untuk kegunaan penduduk,” katanya.

Malaysiakini difahamkan isu dibangkitkan Wee telah sampai ke pengetahuan kabinet dan akan dijawab dalam sidang media esok.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *