KEBANYAKAN ibu bapa kecewa selepas barangan kelengkapan sekolah mengalami kenaikan harga ketika anak-anak mereka akan memasuki sesi persekolahan baru tidak lama lagi.
Keadaan itu memaksa mereka berbelanja mengikut keperluan dan berharap kerajaan dapat mengawal kenaikan tersebut.
Memetik laporan Harian Metro, ibu bapa yang ditemui mengakui terdapat peningkatan harga bagi kelengkapan persekolahan menyebabkan mereka mengambil keputusan tidak membeli semua kelengkapan baharu, sebaliknya apa yang perlu saja.
Bagi suri rumah dan peniaga dalam talian, Azura Halim, 39, berkata, peningkatan dirasai dari segi harga berbanding tahun lalu terutama pakaian dan peralatan sekolah.
“Kami membuat persediaan secara sederhana saja, mana pakaian yang masih elok kami guna semua dan beli yang perlu.
“Jumlah perbelanjaan yang kami sediakan untuk anak dalam RM1,200 untuk tiga anak.
“Anak sekolah menengah seorang manakala dua lagi sekolah rendah. Saya mengawal perbelanjaan anak dengan cara saya dahulukan barang yang penting seperti buku dan alat tulis.
“Manakala pakaian dan kasut sekolah akan dibeli jika ada bajet. Memang saya akui sangat kecewa dengan kenaikan harga barangan sekolah sekarang berbanding sebelum ini kerana ibu bapa dalam masa yang sama terbeban menanggung kenaikan kos sara hidup yang tinggi.
“Kami berharap agar kenaikan harga barangan sekolah dapat dikawal supaya ibu bapa yang dalam golongan B40 dam M40 tidak terlalu terbeban,” katanya kepada Harian Metro.
Seorang kakitangan awam, Mohd Syahmir Mohd Aminnudin, 40, berkata, dia membawa anak-anak membeli kelengkapan sekolah di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini sambil berjalan-jalan bersama keluarga.
“Saya memperuntukkan sebanyak RM300 untuk membeli kelengkapan sekolah bagi seorang anak yang mana saya memiliki tiga anak (seorang sekolah menengah dan dua lagi sekolah rendah), untuk mereka saja kira-kira RM1,000 akan dibelanjakan untuk baju saja, tidak termasuk buku.
“Memang ada harga yang naik, tetapi macam saya akan buat ‘survey’ dan perbandingan dulu kedai mana yang ada tawarkan harga lebih berpatutan dan kualiti kain yang bagus.
“Sekarang memang semua harga barangan meningkat, jadi kita perlu menjadi pengguna bijak, buat dulu perbandingan,” katanya.
Kakitangan swasta, Ernie Syazana Iskandar, 35, berkata, dia tidak dapat mengelak dengan kenaikan ketara kelengkapan sekolah kerana mempunyai empat anak yang masih bersekolah.
Katanya, sebelum ini untuk baju sekolah saja dia menyediakan kira-kira RM600 bagi empat anaknya (seorang menengah dan tiga sekolah rendah) dan tahun ini dia terpaksa membelanjakan RM800.
“Kecewa sebab harga naik ketara, itu belum masuk perbelanjaan lain untuk anak-anak, saya harap ada pihak berkuasa yang boleh memantau kenaikan harga kelengkapan sekolah.
“Memang ada yang murah tapi kualiti tidak tahan lama,” katanya.
Bagi kakitangan kerajaan, Julia Rosli, 39 berkata, dia membuat pilihan teliti sebelum membeli barang sekolah anak-anak.
“Ramai yang mengeluh harga kelengkapan sekolah naik, saya sendiri hanya beli kelengkapan yang sudah tidak elok.
“Kalau kain atau seluar sekolah masih elok dan boleh pakai, saya akan guna lagi, lagi pula saya selalu beli baju sekolah anak-anak, sebab warna putih cepat kotor dan lusuh.
“Baju sekolah agama dan baju sukan pula, kami beli terus dari sekolah,” katanya yang berasal dari Kedah.
Menurutnya, masih ada kedai yang menjual kelengkapan sekolah pada harga mampu milik dengan kualiti baik.
Leave a Reply