SEORANG peniaga di Segamat, Johor mendakwa kerugian hampir RM1 juta selepas premis perniagaannya dinaiki air setinggi satu meter berikutan hujan lebat di daerah itu sejak Rabu lalu.
Jason Ng Wai Kin, 43, yang menjalankan perniagaan memborong barangan keperluan sekolah di Jalan Genuang berkata, dia tidak sempat menyelamatkan barang-barang jualannya berikutan paras air yang tinggi dan arus deras.
Tambah menyedihkan bagi Jason yang mengusahakan tiga unit kedai alat tulis bersama isterinya, mereka baru sahaja menambah stok barangan sebanyak RM 600,000 sebagai persediaan membuka sesi persekolahan bulan ini.
Menurutnya, dia hanya mampu melihat hampir separuh barangan di kedainya rosak berikutan ketika kejadian, dia dan isteri berada di Thailand atas urusan perniagaan.
“Hampir 30 tahun saya menjalankan perniagaan sebagai pembekal buku sekolah terbesar di daerah ini, kali ini merupakan yang ketiga kedai saya naik air selepas tahun 2006 dan 2011 yang lalu.
“Memang kedai saya sudah buat persediaan buka sekolah dan isteri saya sudah ‘restock’ barang lebih RM 600,000 selain sekolah-sekolah juga sudah buat tempahan buku-buku latihan dan semuanya hancur terendam air banjir.
“Kalau berdasarkan pengalaman sebelum ini, untuk bersihkan keseluruhan kedai ini ambil masa lebih kurang dua bulan dan sepanjang tempoh itu juga saya tidak dapat jalankan perniagaan seperti biasa,” katanya, lapor Astro AWANI.
Mengulas lanjut, Jason berharap kerajaan dapat melakukan langkah penyelesaian jangka panjang yang bukannya hanya sekadar menyalurkan sumbangan sekali bayar kepada mangsa banjir di daerah ini.
Jason yang turut menjalankan perniagaan farmasi di lokasi sama menegaskan, dia bukan tidak mahu berpindah ke kawasan lain, namun, hampir keseluruhan kawasan di Segamat berisiko dinaiki air setiap kali musim tengkujuh.
“Jalan Genuang masih jalan besar Segamat, jadi ini masih ‘hotspot’ yang mana walaupun dilanda banjir kami masih di sini kerana kami sudah berpuluh tahun (berniaga) di sini.
“Kalau nak berpindah bukan senang kerana sudah ada pelanggan tetap, jadi kami cuma harapkan perubahan yang boleh bantu peniaga semua supaya kami tidak lagi mengalami kerugian seperti ini,” katanya lagi.
Banjir besar yang melanda daerah Segamat sejak Rabu lalu bukan sahaja menjejaskan ribuan rumah penduduk sehingga memaksa lebih 13,000 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Premis-premis perniagaan di bandar Segamat juga lumpuh seketika selepas turut dimasuki air dan merosakkan barangan jualan.
Leave a Reply