“Anak kami masih hidup, mayat siapa pula di rumah”

SEBUAH keluarga di Tampin, Negeri Sembilan yang sedang menguruskan pengebumian seorang lelaki yang dikatakan anak mereka terkejut besar apabila dimaklumkan oleh pihak berkuasa bahawa anak mereka sebenarnya masih hidup.

Kejadian itu menimpa individu dikenali sebagai Chantren, 45, kelmarin.

Menurutnya, dia menerima panggilan telefon daripada pihak Penjara Sungai Buloh pada 3 Mac lalu yang memaklumkan anak lelakinya berusia 19 tahun meninggal dunia sehari sebelum itu.

“Kami diminta menuntut mayatnya di Hospital Sungai Buloh, Selangor namun pihak berkenaan tidak membenarkan kami berbuat demikian sehingga saya menurunkan tanda tangan.

“Sebaik melihatnya, kami mendapati keadaan wajahnya setelah bedah siasat berbeza kerana ada kesan jahitan selain rambutnya telah dibotakkan,” katanya, lapor Sinar Harian.

Dia ditemui pemberita di kediamannya di Taman Desa Permai, Tampin hari ini.

Chantren berkata, mayat anaknya itu telah dibawa pulang ke rumahnya kira-kira pukul 12 tengah malam tadi untuk urusan pengebumian.

“Bagaimanapun sekitar tiga ke empat jam sebelum proses pengebumian dilaksanakan, pihak penjara menghubungi kami bahawa anak kami masih hidup dengan membuat panggilan video.

“Tidak tahu macam mana hendak saya gambarkan, anak kami masih hidup dan mayat siapa pula di rumah ini?

“Sehingga kini masih tidak dimaklumkan kenapa anak kami ditahan di penjara atas kesalahan apa termasuklah kekeliruan berhubung mayat yang ada di sini,” katanya yang memaklumkan anaknya itu tinggal dan bekerja di Selayang sebelum ditempatkan dengan lelaki yang meninggal dunia itu.

Katanya, pihak penjara telah tiba di kediamannya untuk membawa pulang mayat tersebut selain dia juga meminta untuk bertemu anaknya di penjara.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Miaforce, S Dayalan yang turut berada di lokasi menggesa pihak bertanggungjawab menjelaskan keadaan sebenar susulan ia menyebabkan kekeliruan selain menjejaskan emosi keluarga berkenaan. 


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *