Datuk Zuraida Kamaruddin

Zuraida sokong PN dalam enam PRN nanti

BEKAS Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin mengesahkan beliau akan menyokong Perikatan Nasional (PN) dalam enam Pilihan Raya Negeri yang dijangka diadakan pada Jun nanti.

“Saya nak umumkan saya akan menyokong PN untuk PRN nanti dan tidak menyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional.

“Saya bukan sokong PH atau BN sebab mereka bentuk kerajaan gabungan dan bukan kerajaan campuran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas berakhir program Bersama Tun M: Dialog Sepentas Perjuangan Yang Hilang? di Mini Townhall, Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di Putrajaya har ini.

Program itu julung kali menggandingkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad duduk sepentas bersama beliau dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Ditanya tentang penyertaannya dalam Muafakat Nasional (MN), bekas Ahli Parlimen Ampang itu berkata, beliau bersama MN untuk memberikannya platform lebih besar untuk terlibat dalam kerja badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.

“Jadi saya boleh buat aktiviti di peringkat akar umbi menerusi penglibatan di peringkat NGO ini,” ulasnya, lapor Sinar Harian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *