Bersatu-Pas saling ‘tumpang-menumpang’, tiada parti boleh sendirian- Wan Saiful

BEKAS Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Bersatu dan Pas saling tumpang menumpang dalam memperjuangkan agenda bersama menerusi Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu menyifatkan amalan berkenaan sejajar realiti politik semasa dan turut diamalkan parti politik lain.

Malah katanya, UMNO sendiri menumpang parti lain demi kelangsungan politiknya.

“Mana-mana parti dalam Malaysia memerlukan rakan untuk saling tumpang menumpang. UMNO menumpang MCA, menumpang MIC, menumpang semualah yang ada dalam tu. Sekarang UMNO menumpang Anwar Ibrahim, UMNO menumpang DAP,” katanya
dalam wawancara dengan FMT.

Menjawab pandangan yang meragui kekuatan Bersatu tanpa Pas, beliau berkata, parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu tidak segan silu mengaku mereka tidak boleh bersendirian dalam perjuangannya.

Katanya, realiti Malaysia menuntut parti yang ingin memerintah harus sedia bekerjasama dengan gerakan politik lain, dan bijak menggembleng kekuatan gabungan berkenaan.

“Kami (PN) saling melengkapi sebab itu ia strategi yang berjaya,” katanya, sambil menyorot perhatian kepada prestasi PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang disifatkan ‘amat menggembirakan’.

Pada PRU15, PN menawan 74 kerusi Parlimen dengan 31 daripadanya disumbangkan Bersatu manakala selebihnya dimenangi Pas.

Menurutnya, Pas bawa kekuatan jentera, Bersatu bawa kekuatan imej dan reputasi yang dipercayai rakyat manakala Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bawa agenda pelbagai budaya.

“Kewujudan parti politik ini akhirnya untuk mewujudkan kerjasama yang membolehkan kita membantu rakyat,” katanya.

Wan Saiful memberitahu, Bersatu kini berada pada kedudukan lebih kuat kerana kehendak generasi baharu rakyat.

“Bersatu tak perlu pamer (sebagai) alternatif kepada UMNO. Memang rakyat menganggap kita lebih baik daripada UMNO sekarang,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *