PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa agar kerajaan berhenti melakukan apa yang disifatkan sebagai pemburuan politik yang tidak berkesudahan ke atas pimpinannya.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendakwa pimpinan parti itu tidak melakukan sebarang kesalahan di sisi undang-undang.
Hamzah juga mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mempunyai sebab munasabah untuk memohon penahanan Bendahari Agung parti itu, Datuk Salleh Bajuri atas alasan siasatan kerana kerjasama sepenuhnya sentiasa diberikan.
“Bersatu berpendirian bahawa tahanan reman ke atas Datuk Salleh Bajuri adalah sebahagian daripada tekanan yang diberikan kepada pegawai dan pemimpin Bersatu untuk mencari kesalahan yang tidak wujud.
“Begitu juga tindakan menjalankan siasatan ke atas vendor-vendor Bersatu adalah sebahagian daripada pemburuan politik kerajaan PH-BN yang masih berterusan.
“Penyata kewangan Bersatu telah diaudit setiap tahun dan diluluskan dalam Persidangan Agung Tahunan. Tidak ada apa-apa perkara tidak teratur ditemui dalam penyata kewangan tersebut, yang telah disahkan oleh juruaudit bertauliah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Hamzah, Salleh merupakan seorang yang amanah dan berintegriti telah memastikan semua perolehan yang dibuat oleh Bersatu telah melalui proses dan tatacara kewangan parti.
Kelmarin, SPRM telah menahan reman Salleh selama dua hari bagi membantu siasatan berhubung siasatan ke atas akaun parti itu yang kini dibekukan.
Bendahari Agung Bersatu itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan.
Ini merupakan penahanan ketiga membabitkan pemimpin parti itu selepas bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, masing-masing dituduh kes rasuah di mahkamah berkaitan projek Jana Wibawa.
Wan Saiful bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah RM6.9 juta bagi projek berhubung inisiatif itu, manakala Adam Radlan turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah membabitkan projek sama.
Pada Januari lalu SPRM membekukan beberapa akaun milik Bersatu susulan siasatan kes itu lapor Astro AwaniWANI.
Leave a Reply