EMPAT Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang tetap akan menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin ini di sebalik pembentangan usul supaya mereka mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
Mereka juga nekad dan bersedia dengan sebarang kemungkinan sekiranya usul itu diluluskan termasuk perlu meninggalkan bangunan DUN.
ADUN Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin berkata, bagaimanapun mereka akan mempertahankan kedudukan masing-masing ketika perbahasan usul itu khususnya berkenaan kelompangan yang terdapat dalam akta tersebut.
“Antaranya akta itu tidak memberi kuasa kepada Speaker bagi membolehkan sesebuah kerusi dikosongkan selain definisi tindakan melompat parti yang tidak jelas.
“Dalam masa sama akta berkenaan lompat parti yang diluluskan di peringkat kerajaan negeri juga tidak selari dengan pindaan akta di peringkat Kerajaan Pusat.
“Masalahnya di sini adalah berkenaan kelompangan dalam akta itu di peringkat kerajaan negeri, bukan sebab (masalah) kami,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di George Town hari ini yang turut disertai tiga lagi ADUN pembangkang yang berdepan tindakan mengosongkan kerusi DUN masing-masing iaitu Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh); Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md. Lazim (Telok Bahang).
Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang yang juga Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sidang DUN yang dijadual Isnin ini akan membentangkan satu usul bagi tujuan pengosongan empat kerusi DUN berkenaan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kesahihan klausa-klausa dan perkara-perkara di dalam Perlembagaan negeri yang melarang wakil rakyat melompat parti.
Ia berikutan keputusan panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan pada Ogos tahun lalu yang memutuskan peruntukan di bawah enakmen anti lompat parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.
Mengulas lanjut, Dr. Afif berkata, tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang itu adalah mereka merampas mandat yang sudah ditentukan rakyat menerusi usul mengosongkan kerusi DUN dan sesuka hati mahu menentukan siapa yang sepatutnya berada di DUN.
Selain itu, ujar beliau, Dr. Afif dan Zulkifli pula dipecat daripada parti mereka iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekali gus tidak boleh dianggap tindakan melompat parti seperti mana disebut dalam akta yang diluluskan terbabit.
“Jadi, bagaimana boleh dianggap keempat-empat ADUN ini telah melompat parti sehingga kerajaan negeri perlu membawa usul mengisytiharkan DUN mereka kosong,” soalnya.
Malah katanya, jika dilihat semula ketika PRU-14, calon Pakatan Harapan (PH) ketika itu seperti DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) bertanding dan menang menggunakan logo parti PKR.
“Jika mengambil kira tanggapan kerajaan negeri mengikut akta lompat parti ini, maknanya calon DAP dan Amanah yang menang juga dianggap telah melompat parti,” katanya.
Leave a Reply