mukhriz mahathir

Mukhriz hantar surat permohonan Pejuang mahu sertai PN

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PRESIDEN Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesahkan sudah menghantar surat kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk gabungan berkenaan.

Menurutnya, surat permohonan tersebut dihantar semalam untuk membolehkan Pejuang diterima sebagai ahli komponen PN.

Katanya, surat tersebut juga sudah disalin dan dihantar kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Parti Gerakan RakyatMalaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

“Keputusan ini telah disepakati Majlis Eksekutif Pusat (MEP) Pejuang dua hari lepas setelah penelitian dan penilaian khusus semua opsyen-opsyen gabungan atau kerjasama politik yang ada.

“Ini adalah sesuai dengan mandat yang kami perolehi daripada Perhimpunan Agung Pejuang kali kedua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keputusan MEP itu adalah terhasil daripada pertimbangan-pertimbangan berikut:-

  1. Adalah tidak memadai jika kerjasama berbentuk pakatan pilihan raya (electoral pact)) diwujudkan hanya untuk mengelak daripada pertindihan kerusi yang ditandingi, lebih-lebih lagi jika lambang berasingan digunakan kedua-dua pihak yang berpakat.
  1. Lebih menguntungkan semua pihak jika Pejuang menyertai PN dan bertanding menggunakan lambang PN. Tentunya ini bermakna kesepakatan Pejuang dan PN itu tidak terhad untuk pilihan raya negeri (PRN) sahaja yang bakal berlangsung Jun 2023 ini, tetapi juga untuk jangka masa panjang.
  1. Penyertaan Pejuang sebagai komponen PN adalah untuk memastikan tiada perpecahan undi Melayu dalam pilihan raya akan datang.

Justeru Muhkriz berharap, kepimpinan PN akan mempertimbangkan permohonan Pejuang dan memberi respon yang positif.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *