Mangsa banjir guna ‘TikTok Live’ kongsi keadaan di Segamat

SEORANG mangsa banjir menggunakan aplikasi TikTok ‘live’ atau siaran langsung untuk memberitahu keadaannya ketika menunggu untuk diselamatkan selepas terperangkap di sebuah restoran di Bandar Segamat, awal pagi tadi.

Menggunakan akaun ‘Pak Arab’, lelaki tersebut yang terperangkap bersama rakannya memaklumkan penonton bahawa dia sebelum itu keluar untuk memenuhi tugasan menebang pokok yang tumbang akibat hujan lebat di Tenang, Segamat.

Bagaimanapun, dalam perjalanan pulang melalui bandar itu, dia diberitahu orang awam yang lain bahawa air banjir sudah meningkat ke paras dada.

“Saya masih tidak tahu keadaan kampung saya sebab tak sempat balik lagi. Saya tunggu bantuan dekat Restoran Natasha ini sebab orang cakap kawasan ini lagi tinggi daripada tempat yang lain,” katanya memberitahu penonton.

Lelaki berkenaan ketika itu bersama seorang lagi rakannya dan seorang orang awam lain, berselimutkan plastik tanpa makanan dan minuman.

‘Pak Arab’ kemudiannya dihubungi wakil Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang menggunakan akaun Caldeeja Lee memberitahu pasukan APM kini berada di Genuang, Segamat dan dalam perjalanan ke sana.

“Minta encik juga berhati-hati dan jauhkan sikit dari duduk di hadapan berdekatan air deras. Apa-apa, kami akan hubungi menerusi ‘live’ ini,” kata wanita tersebut.

Anggota bomba menyelamatkan amngsa banjir sekitar Yong Peng, Batu Pahat, Johor. – Foto ihsan bomba Johor

Beberapa penonton juga menyertai siaran langsung berkenaan dan berbual dengan ‘Pak Arab’ atau nama sebenarnya Syed Syaiful Syah, sambil berkongsi keadaan banjir di tempat masing-masing serta pengalaman yang pernah mereka lalui.

Syed Syaiful Syah yang menetap di Jalan Simpang Jabi berkata ini merupakan kali pertama dia menggunakan TikTok ‘live’ memandangkan mahu mengisi masa lapang sebelum dapat diselamatkan.

“Selalu saya tolong orang terutama sekali lepas banjir. Tolong orang cuci rumah, bersihkan rumah sebab saya ada peralatan. Tak sangka kali ini saya pula terkandas,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi semasa sesi siaran langsung tersebut, kira-kira 3 pagi tadi. 

Selain itu, beberapa penonton turut berkongsi terdapat ahli keluarga mereka yang turut terkandas di beberapa lokasi sekitar bandar berkenaan dengan arus sungai juga kelihatan sangat deras sedang melalui bandar ketika sesi tersebut, yang turut cuba diseberangi beberapa individu tetapi dihalang oleh Syed Syaiful Syah.

Setakat 8 pagi ini, mangsa banjir di Johor meningkat lebih dua kali ganda kepada 25,213 orang dengan Segamat merekodkan mangsa tertinggi seramai 7,272 mangsa.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *