SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikhuatiri lemas di Sungai Pasir, Kampung Sri Makmur, Chini, Pekan, semalam.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa dikenali Muhammad Hafizhan Abd Zaib beralamat di Felcra Sri Makmur di pekan.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 2.49 petang dan sepasukan anggota bomba dihantar ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian pihaknya dimaklumkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai lemas di sungai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa turut dibantu penduduk kampung menggunakan dua bot fiber milik mereka dengan menggunakan pendayung.
“Pencarian di permukaan air dilakukan dengan anggaran keluasan sekitar 200 meter dari lokasi mangsa dikatakan lemas,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba Penyelamat Pekan turut diarah ke lokasi bagi membantu operasi SAR.
Leave a Reply