SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera pada bahagian kiri kepalanya selepas ditetak seorang lelaki dalam kejadian di Bandar Baru Farlim, Ayer Itam, Pulau Pinang pukul 11.30 malam tadi.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, mangsa yang berusia 29 tahun itu mengalami luka torehan sepanjang sembilan sentimeter di dahi dan enam sentimeter di bahagian belakang selain mengalami patah pada tulang kepala sebelah kiri.
Menurutnya, mangsa kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dilaporkan stabil.
Menurut beliau, kejadian berlaku ketika mangsa yang bertugas di Balai Polis Bandar Baru, Ayer Itam sedang menjalankan sekatan jalan raya (SJR) bersama beberapa anggota lain sebelum melihat seorang penunggang motosikal sedang melakukan pusingan U berdekatan SJR tersebut.
“Mangsa dan seorang lagi anggota terus mengekori suspek dan berjaya menahan suspek dalam jarak 150 meter dari lokasi dia membuat pusingan U.
“Apabila ditahan, suspek mengaku tidak mempunyai lesen memandu menyebabkan dia melakukan pusingan U,” katanya selepas melawat mangsa di HPP hari ini.
Mohd Shuhaily berkata, ketika mangsa dan rakannya hendak membuat pemeriksaan ke atas motosikal suspek, suspek telah melakukan provokasi menyebabkan berlaku pergelutan.
Kata beliau, suspek kemudiannya mengambil sebilah pisau dari atas meja salah sebuah rumah teres berhampiran lalu menetak kepala mangsa lalu melarikan diri dengan meninggalkan motosikalnya.
“Pemeriksaan mendapati, motosikal tersebut didaftarkan di atas seorang lelaki yang sudah meninggal dunia.
“Pemeriksaan di bawah tempat duduk motosikal menjumpai satu plastik hitam yang mengandungi 30 paket plastik lutsinar mengandungi ketulan dan serbuk warna kuning disyaki dadah jenis heroin (anggaran berat 210 gram).
“Turut dijumpai satu dompet yang mengandungi sekeping surat jamin polis atas nama suspek melibatkan Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Mohd. Shuhaily berkata, suspek yang berusia 33 tahun berjaya ditahan pukul 3.40 pagi tadi di kawasan Kondominium Sri Kristal di kawasan sama.
Jelasnya, polis turut berjaya merampas pisau pemotong daging dan suspek kini ditahan di Lokap Ibu pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk proses reman.
“Suspek berasal dari Bagan Serai, Perak dan mempunyai empat rekod dadah, malah ujian saringan air kencingnya juga positif dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.
Leave a Reply