Jalan Labis-Chaah terputus, BBP Yong Peng ambil alih usaha menyelamat

USAHA menyelamatkan mangsa banjir di sekitar Chaah oleh Balai Bomba Penyelamat (BBP) Labis terjejas apabila Jalan Labis-Chaah, dekat Segamat, terputus hubungan akibat dinaiki air dan tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan.

Bagaimanapun, Ketua BBP Labis Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Hafifie Md Sarif berkata operasi menyelamat mangsa di kawasan itu diambil alih oleh pasukan BBP Yong Peng dan pasukan Bomba Sukarela Chaah.

“Misi menyelamat di sekitar Chaah dilapor berjalan lancar dengan sokongan dari BBP Yong Peng dan pasukan sukarela Chaah.

“Hujan lebat telah menyebabkan banyak kawasan dinaiki air dan jumlah mangsa yang terperangkap akibat banjir dijangka terus meningkat. Kerja-kerja memindahkan mangsa banjir masih berjalan dan beberapa kawasan terputus hubungan seperti di Kampung Tenang, Pekan Air Panas dan Kampung Juaseh,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Beliau berkata BBP Labis kemudiannya menumpukan perhatian pada misi menyelamat di sekitar Labis yang dijalankan oleh dua pasukan. 

Muhammad Hafifi berkata situasi banjir di pekan Labis dan sekitarnya serta beberapa perumahan, dinaiki air sedalam satu meter dengan paras air paling dalam dikenal pasti di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamarul Ariffin, dekat sini.

“Antara aset yang digunakan adalah Jentera Scania J1-30, Ambulans J2-18, lori 3 tan, hilux, kembara, bot getah dan bot fiber.

“Hujan lebat masih berterusan dan dijangka berlarutan sehingga esok. Seawal 4 pagi tadi, kami dah pindahkan 209 keluarga melibatkan 746 mangsa ke enam PPS di sekitar Labis,” kata beliau.

Sementara itu, seramai 6,694 mangsa banjir dipindahkan ke 63 pusat pemindahan sementara di tujuh daerah terjejas banjir setakat 2 petang ini, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *