PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa kerajaan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tumbang tidak lama lagi.
Beliau bagaimanapun tidak menyebut berdasarkan apa jangkaannya itu dibuat.
“Orang tanya bila berlaku ini. Ini ramalan.
“Insya-Allah, (akan berlaku) dalam masa terdekat,” katanya, lapor Malaysiakini.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada sesi Dialog Ulama Negarawan: Mendepani Cabaran Globalisasi Media Masa Kini anjuran Yayasan Permata Ummah di Kuala Lumpur semalam.
Ahli Parlimen Marang itu juga tidak menyebut jika Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai partinya bersama sekutu utamanya, Bersatu sedang mengaturkan sesuatu.
Semalam, Hadi ketika berucap di Dewan Rakyat berkata bahawa pembangkang tidak boleh dipersalahkan sekiranya pentadbiran PH runtuh sekali lagi.
“Kalau jatuh lagi, jangan salahkan kami. Bukan tebuk atap, tetapi atapnya bocor, pintunya terbuka dan dindingnya pecah,” katanya merujuk pentadbiran PH yang ditumbangkan melalui Langkah Sheraton pada 2020.
Untuk rekod, Hadi sebelum ini pernah berkata dirinya adalah individu yang memulakan langkah untuk menumbangkan kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohammad ketika itu selepas 22 bulan memerintah negara.
Jelasnya, ini sebagai tindak balas terhadap usaha pentadbiran PH mengiktiraf Mahkamah Jenayah Antarabangsa dengan memeterai Statut Rom dan cubaan menandatangani konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai anti penindasan kaum (Icerd).
Mengulas lanjut, Hadi berkata bahawa Pas adalah kumpulan Islam yang terbuka dan sentiasa memperjuangkan penyatuan ummah.
“Kita pernah ajak ulama-ulama UMNO bermuzakarah buka al-Quran dan hadis. Tapi, dulu kita ajak muzakarah mereka tidak mahu.
“Yang sekarang ini tidak tahu kalau mereka nak datang muzakarah.
“Kita bersedia, buka al-Quran, pada yang asal kita ini untuk menyatukan ummah. Ini sangat penting,” katanya.
Leave a Reply