SUSULAN dakwaan wujudnya pengaruh politik dalam TikTok ekoran seorang ahli politik menjadi pekerjanya, TikTok Malaysia memberi jaminan platform itu mempunyai mekanisme untuk menghalang aktiviti sedemikian.
Lapor Malaysiakini, kenyataan itu susulan seorang pengguna akaun TikTok mendakwa ketua penerangan di satu bahagian Pas Selangor bekerja di ByteDance iaitu syarikat pemilik TikTok, malah pernah menjadi sebahagian dalam pasukan kawalan kandungannya.
Individu itu mempersoalkan jika ia menjadi sebab berlakunya kemerosotan jumlah penonton melibatkan sebahagian pengguna TikTok yang memuat naik kandungan politik.
Dia turut mendakwa TikTok memiliki kawalan manual untuk menentukan video mana yang akan tular, selain algoritma automatik yang menentukan kandungan yang akan dipaparkan di laman “For You” pengguna.
Setakat ini, video berkenaan dakwaan itu telah meraih 177 tanda suka dan dikongsi 80 pengguna sejak semalam.
Video itu turut dikongsikan di platform lain termasuk Twitter, di mana ia telah ditonton sebanyak 76,600 kali.
Dalam kenyataan semalam, ketua dasar awam TikTok Malaysia Hafizin Tajudin menafikan dakwaan tersebut.
Merujuk pemimpin Pas itu sebagai “bekas pekerja”, Hafizin berkata moderator kandungan tiada sebarang akses terhadap alat promosi kandungan.
“Kita ada sistem jaminan mutu yang kukuh bagi memastikan pandangan politik dan peribadi kakitangan kami tidak mempengaruhi etika dan mutu kerja mereka, termasuk ketika mengendalikan kawalan kandungan.
“Keputusan berhubung kawalan kandungan TikTok berdasarkan set garis panduan komuniti yang digariskan dengan jelas dan ada lapisan semak dan imbang, termasuk jaminan mutu dan penyemak fakta pihak ketiga, untuk menjaga keselamatan dan menjamin kesaksamaan,” katanya lagi.
Hafizin berkata, TikTok mengendalikan semua kandungan, termasuk berkenaan politik, secara neutral dan berdasarkan garis panduannya, menerusi kombinasi dasar, teknologi dan pengawalan.
Kandungan yang didapati melanggar garis panduan sama ada dipadam atau tidak dipaparkan di laman “For You”, menjadikan pengguna lain sukar menemuinya.
Pada masa sama dia mengakui TikTok ada mempromosikan sebahagian kecil kandungan bagi mempelbagaikan pengalaman penggunanya dan memperkenalkan selebriti dan pencipta kandungan yang sedang meningkat naik kepada pengguna.
Namun dia menegaskan ia tidak membenarkan kempen politik di platform tersebut. Dasar itu diperkukuh dengan perubahan dasar berkaitan akaun kerajaan, ahli politik dan parti politik pada September tahun lalu.
Sejak PRU lalu, TikTok menjadi media sosial yang paling diperhatikan kerajaan. Ramai pemerhati berpandangan kejayaan PN dalam PRU15 adalah kerana kempen di TikTok yang berjaya meraih sokongan golongan muda.
Sebaik selepas keputusan PRU diumumkan, kandungan yang membayangkan pengulangan rusuhan kaum 13 Mei 1969 disebarkan di platform itu, dengan sebahagiannya dibayar.
TikTok kemudian berkata kandungan tersebut pada mulanya terlepas daripada pemeriksaan kawalan automatik namun kemudiannya dipadam selepas pemeriksaan manual dibuat.
Leave a Reply