PENYOKONG kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan campuran itu diharap memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, mereka perlu memberi peluang kepada PN untuk membuktikan apa yang mampu dilakukan oleh Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan parti lain dalam gabungan itu untuk enam negeri terbabit.
“Dari segi prestasi termasuk kajian yang dibuat oleh (termasuk) Sinar Harian, prestasi kerajaan hari ini kurang memberangsangkan.
“Rakyat kurang percaya dengan kebolehan kerajaan ini untuk menguruskan negara kita terutama dalam kita nak mengharungi cabaran ekonomi yang makin meruncing.
“Jadi ini akan memberi kesan kepada persembahan PH dan BN dalam PRN,” katanya pada program Sinar Live bertajuk Wan Saiful, Apa Cerita? yang dikendalikan hos, Hazwan Mokhtar hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Saiful yang baharu meletak jawatan sebagai Ketua Penerangan Bersatu tidak dapat membayangkan situasi penyokong UMNO yang perlu mengundi calon DAP kerana kedua-dua parti itu bakal bekerjasama.
Selain itu katanya, penyokong Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga akan berkempen untuk calon UMNO, MCA serta MIC.
“Ini juga kali pertama saya tidak tahu macam mana penyokong DAP nak memangkah UMNO dan orang UMNO nak pangkah DAP.
“Orang Amanah dan PKR nak berkempen untuk UMNO, MCA dan MIC. Ini memang satu sejarah sungguh kali ini. Jadi kita sama-sama tengok.
“Saya mengharapkan mereka yang menyokong PH dan BN yang kurang berpuas hati dengan apa yang berlaku sekarang, bagi peluang kepada PN menunjukkan apa yang kami boleh buat untuk membantu negeri-negeri yang akan mengadakan PRN nanti,” katanya.
Leave a Reply