Kematian tragedi bot karam Itali melebihi 100 mangsa

SEKURANG-kurangnya 100 pendatang asing tanpa izin (PATI) dikhuatiri maut termasuk 12 kanak-kanak, selepas bot dinaiki mereka pecah dipukul ombak semasa dalam perjalanan ke Crotone, Itali minggu lalu.

Difahamkan, bot membawa 200 penumpang itu merangkumi warga Afghanistan, Pakistan, Somalia, Syria, Iraq dan Iran.

Mayat PATI berkenaan ditemui terdampar di pantai pusat peranginan tepi laut berdekatan wilayah Calabria.

Pengawal pantai berkata, 80 orang ditemui masih hidup manakala selebihnya dikhuatiri maut atau mati lemas dalam tragedi itu.

Media Itali, Sky TG24, melaporkan sekurang-kurangnya tiga mangsa yang terselamat kini ditahan kerana disyaki membantu melakukan pelayaran haram dari Izmir, Turkiye termasuk seorang yang ditahan atas dakwaan pemerdagangan manusia.

Sementara itu, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, berkata, lebih 24 warga Pakistan dipercayai antara mereka yang lemas dan meminta diplomat untuk mengesahkan laporan itu secepat mungkin.

Ketika bantuan dan operasi pemindahan diteruskan, sekumpulan mangsa yang terselamat dari bot karam dilihat meratapi kehilangan orang tersayang mereka.

Di pusat penerimaan sementara di bandar Isola di Capo Rizzuto, ada di antara mereka yang menangis, ada yang hanya merenung dalam kekosongan sambil dibaluti selimut.

Wakil badan amal, Médecins Sans Frontières (MSF), Sergio Di Dato berkata, mereka yang terselamat kini mengalami trauma.

“Sesetengah kanak-kanak dilaporkan kehilangan seluruh keluarga mereka. Kami menawarkan semua sokongan yang kami mampu,” katanya.

Seorang budak lelaki berusia 16 tahun dari Afghanistan kehilangan kakaknya yang berusia 28 tahun.

Dia kini tidak dapat mencari kekuatan untuk memberitahu ibu bapanya mengenai kehilangan kakaknya itu.

Seorang lelaki berusia 43 tahun dari Afghanistan terselamat bersama anak lelakinya berusia 14 tahun, tetapi isteri dan tiga lagi anaknya, yang berusia 13 tahun, sembilan dan lima tahun tidak berjaya diselamatkan.

Seorang lagi wanita Afghanistan yang menangis ketika diselamatkan tidak berganjak dari pantai selepas kehilangan suaminya.

Hari ini, dua kapal Pengawal Pantai meneruskan pencarian di perairan luar pesisir dari utara hingga selatan Steccato di Cutro manakala helikopter meninjau kawasan pantai bersama kenderaan di darat.

Komander bomba wilayah, Roberto Fasano, berkata pihaknya tidak yakin masih ada yang terselamat dalam tragedi itu kerana keadaan laut yang bergelora, namun masih menaruh harapan keajaiban mungkin berlaku. – AGENSI


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *