KEANGKUHAN sikap pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang didakwa menghina pengundi muda serta menuduh mereka tidak berpelajaran kerana mengundi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bakal diterjemah dengan penolakan dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, parti itu memandang serius kenyataan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang dilihat angkuh dan sama sekali menghina pengundi muda.
Menurutnya, ini bukan kali pertama pemimpin PH berbuat demikian.
“Kami yakin dengan keangkuhan sikap pemimpin PH ini bakal diterjemah dengan penolakan lebih ramai anak pelbagai latar belakang terhadap PH dalam PRN di Selangor, Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang nanti,” katanya dalam satu kenyataan.
Saifuddin semasa berucap dalam Konvensyen PH Kedah 2023 yang diadakan di Sungai Petani, pada 25 Februari lalu dilapor melabelkan golongan muda yang menyokong dan menyumbang undi kepada PN pada PRU15 baru-baru ini sebagai tidak mempunyai pendidikan tinggi dan tiada pendapatan tetap dalam kehidupan.
Beliau mendakwa hal itu dibuktikan melalui dapatan kajian yang dilakukan oleh PH selepas PRU15 pada November tahun lalu.
Khairil Nizam yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata, jelas sekali PH amat terkesan dengan penolakan pengundi muda kepada gabungan itu pada PRU15.
Katanya, kebangkitan anak-anak muda daripada semua latar belakang menolak PH dan BN amat jelas, malah ramai dalam kalangan mereka ini adalah terpelajar dan berkerjaya.
“Kami dari Perikatan Nasional mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua anak muda bandar dan luar bandar serta yang berada di luar negara yang memberikan sokongan kepada gabungan itu pada PRU-15,” tambahnya.
Leave a Reply