Zulkapli dilantik KPPA baharu, Johan KSU Perbendaharaan

DATUK Dr Zulkapli Mohamad diumumkan sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan Zulkapli sebagai KPPA itu telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali gus mengisi kekosongan jawatan tersebut sejak Disember lalu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, Zulkapli, 58, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Kepujian) dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Menurut Mohd. Zuki, Zulkapli juga memegang Ijazah Sarjana Pembangunan Antarabangsa dari University of Japan dan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Ekonomi (Kewangan Antarabangsa) dari Universiti Meiji, Jepun.

Katanya, Zulkapli telah berkhidmat selama 31 tahun dalam perkhidmatan awam dengan jawatan pertama yang disandang adalah sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Latihan, JPA pada 1 Disember 1992.

“Pelantikan ini berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan dan perkhidmatan serta pembangunan modal insan.

“Saya yakin dengan pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki Zulkapli mampu menggalas amanah dan tanggungjawab dalam menyokong usaha serta memastikan pembaharuan sektor awam selari dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkapli sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), JPA.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di SWCorp dan Setiausaha Persekutuan Sabah di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah.

Sementara itu, Mohd. Zuki dalam kenyataan berasingan turut mengumumkan pelantikan Datuk Johan Mahmood Merican sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang baharu berkuat kuasa tarikh sama.

Beliau berkata, pelantikan Johan, 50, adalah berdasarkan kelayakan, ciri-ciri kepimpinan dan pengalaman luas sepanjang memegang beberapa jawatan dalam bidang ekonomi, kewangan dan dasar.

“Merupakan lulusan kelas pertama dari University of Cambridge serta akauntan bertauliah dari Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW), beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corp.

“Selain itu, Johan juga pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Unit Perancang Ekonomi dan Pengarah Belanjawan Negara.

“Jawatan terakhir beliau adalah Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Kementerian Kewangan,” katanya, lapor Utusan TV.

Jawatan KPPA kosong selepas perkhidmatan Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah ditamatkan berkuat kuasa 12 Disember tahun lalu. Ia susulan insiden tular kontroversi di antara beliau dengan pegawai Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3 Ogos lalu.

Jawatan Ketua Setiausaha Perbendaharaan pula kosong selepas Datuk Seri Asri Hamidon dicutikan sejak 6 Disember lalu dan beliau turut meletak jawatan sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB) berkuat kuasa 5 Januari.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *