Kerajaan perlu telus, henti sembunyi perbelanjaan mengurus – Johari

KERAJAAN mesti lebih telus mengenai perbelanjaannya dan menghentikan “amalan salah” menyembunyikan perbelanjaan pembangunan dalam pembentangan kewangannya.

Datuk Seri Johari Ghani (BN-Titiwangsa) berkata, Akta Tatacara Kewangan memperuntukkan perbelanjaan mengurus dibayar hanya daripada hasil kerajaan, manakala perbelanjaan pembangunan dibayar menggunakan pinjaman.

Bagaimanapun katanya, kerajaan telah meminjam sehingga RM300 bilion semasa pandemik Covid-19, sebahagiannya untuk mendapatkan vaksin, yang sepatutnya dianggap sebagai perbelanjaan mengurus.

Selain itu katanya, jumlah tersebut telah disembunyikan sebagai perbelanjaan pembangunan.

“Jadi kita tidak ada ketelusan report (laporan). Laporan kita tidak telus. Bila tidak telus bagaimana orang nak melihat bahawa kita mentadbir ini secara ketelusan? Kenapa kita kena sorok perbelanjaan vaksin ini dalam DE (perbelanjaan pembangunan)? Sedangkan DE ini “definition” dia ‘very clear’ “, katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

“Kalaulah kita nak kena berdepan dengan defisit, kita berdepan dengan defisit sebab kita kena “manage” defisit ini daripada kita menyorok kita punya perbelanjaan mengurus dalam sistem ‘off-balance sheet’ ini,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

Perlu reformasi sistem subsidi

Dalam perkembangan berasingan, Johari menggesa subsidi lebih disasarkan, memetik contoh Arab Saudi yang kaya dengan minyak, yang mereformasi sistem subsidinya pada 2016 dengan mengurangkan subsidi menyeluruh yang hanya menguntungkan golongan kaya.

Pembaharuan itu membantu menjimatkan wang untuk kerajaan Saudi, dan membenarkannya memberikan bantuan tunai terus kepada golongan miskin.

“Petronas bayar kita dividen 50 bilion 2022, habis untuk bayar subsidi sahaja. Tidak dapat manfaat kepada negara untuk kita ‘”create” kita punya “reserve”,” katanya.

Tahun lepas, kerajaan membelanjakan RM77.7 bilion untuk subsidi.

Johari berkata antara 1974 dan 2022, Petronas menyumbang kira-kira RM1.3 trilion kepada tabung kerajaan, namun Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) pada masa ini hanya mempunyai RM16 bilion.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *