BARISAN Nasional (BN) mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menarik balik tuduhan yang mengaitkan Presiden UMNO sebagai ‘dalang’ kepada pertuduhan rasuah terhadap bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Ia dinyatakan melalui surat tuntutan dihantar BN melalui peguamnya selepas menyifatkan kenyataan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Azmin selaku Ketua Penerangannya, sebagai satu tuduhan yang melampau.
Menurut Bahagian Komunikasi BN melalui kenyataan, selain menarik kenyataan, dua pemimpin PN itu juga perlu memohon maaf secara terbuka dan membayar balik pampasan ganti rugi di atas kenyataan serta fitnah dilakukan.
“Fitnah liar ini tidak boleh dibiarkan berlarutan untuk dijadikan bahan menipu dan meloloskan diri daripada dakwaan terhadap kesalahan dan jenayah yang dilakukan.
“Di dalam surat tuntutan dihantar, kedua-dua penama terbabit mestilah menarik balik kenyataan mereka, memohon maaf secara terbuka dan membayar balik pampasan ganti rugi di atas kenyataan serta fitnah yang telah dilakukan,” katanya, lapor Berita Harian.
Mengulas lanjut, katanya kenyataan Muhyiddin yang menuduh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai ‘dalang’ dan ‘perancang’ kepada pertuduhan Wan Saiful itu jelas satu fitnah melulu, besar dan disengajakan untuk menutup kerosakan yang kini berlaku dalam PN sendiri.
Katanya, ini termasuk tuduhan sama dibuat Mohamed Azmin yang menyatakan pendakwaan rasuah ahli PN dan Bersatu sebelum ini adalah tindakan yang sudah dirancang.
“Melalui siri tuduhan ini, jelas kelihatan kedua-dua individu utama dalam PN ini mencipta pelbagai alasan untuk menyembunyikan masalah korup dan rasuah yang ada di dalam PN.
“Tindakan menuding jari dilihat seperti langkah biasa mereka untuk menutup kelemahan dan menjadikan diri mereka sebagai mangsa pendakwaan politik, sedangkan rakyat kini melihat yang dituduh adalah daripada kepemimpinan parti mereka sendiri,” katanya.
Kenyataan sama memaklumkan, Ahmad Zahid tidak pernah sesekali menyalahgunakan jawatan dan kedudukan untuk mendakwa pemimpin PN dan fokus Timbalan Perdana Menteri itu adalah untuk menguruskan hal ehwal negara, khususnya meningkatkan kesejahteraan serta ekonomi hidup masyarakat desa.
Leave a Reply