Budak 12 tahun maut jatuh tingkap hotel

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut apabila terjatuh dari tingkap tingkat 14 sebuah hotel di Kota Kinabalu pagi ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah ketika dihubungi memberitahu, siasatan awal mendapati mangsa jatuh dari tingkat 14 ke kawasan beranda di tingkat lima hotel tersebut.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 6.44 pagi tadi, sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba Kota Kinabalu bersama jentera ke tempat kejadian bagi memberikan bantuan.

“Pasukan bomba menjalankan operasi membawa turun mangsa ke bawah. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan.

“(Mayat mangsa) diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi ditamatkan pada 7.53 pagi,” katanya.

Katanya identiti mangsa masih dalam proses untuk dikenal pasti.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *