PERIKATAN Nasional (PN) menyifatkan Bajet 2023 kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) adalah seperti ‘selimut yang senteng’ – tutup muka nampak kaki, tutup kaki muka terdedah.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, banyak perkara dalam belanjawan tersebut yang kurang daripada” segi pendekatan untuk menentukan masa depan negara kerana sepatutnya belanjawan itu sesuatu yang boleh melonjakkan pertumbuhan ekonomi dalam negara.
“Belanjawan ini sepatutnya membuka peluang pekerjaan kepada rakyat, terutama mereka anak-anak muda, selain berupaya meringankan bebanan rakyat khususnya berkaitan kos sara hidup.
“Apabila mendengar ucapan Tambun (Datuk Seri Anwar Ibrahim) saya agak simpati juga kerana dalam keadaan ekonomi negara kita ini yang agak runcing, begitu juga dengan ekonomi dunia.
“Jadi saya merasakan mungkin ini yang menyebabkan ucapan Tambun pada hari itu adalah sesuatu yang saya beranggapkan seperti ‘bajet selimut yang senteng maksudnya kalau kita tutup muka betis kita terselak. Kalau kita tutup kaki, muka kita terdedah.
“Jadi segala apa yang kita dengar belanjawan ini seharusnya adalah sesuatu belanjawan yang harus diberikan atau diagihkan secara saksama kepada semua.
“Bukankah matlamat utama sesebuah pembangunan itu adalah untuk memberi nilai tambah dan limpahan yang berganda bagi meningkatkan tahap sosioekonomi dan daya saing negara,” katanya ketika membahas Bajet 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada masa sama, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, pembangkang berasa hairan dengan perbezaan ucapan dan teks ucapan disampaikan Anwar ketika membentangkan bajet berkenaan.
“Yang saya hairannya ketika beliau membentangkan ucapan tersebut. Saya nak maklumkan bahawa selepas beberapa minit kita dah dapat (teks ucapan). Dan kita boleh ikut teks ucapan yang telah pun disediakan.
“Dan ketika itu kita rasa amat hairan… yang mana satu? Apakah yang dibaca oleh Tambun sendiri ataupun teks yang diberikan kepada kita? Dan sebab itu saya ingin persoalkan di sini kenapa perkara ini boleh berlaku?
“Kerana bukankah belanjawan itu sepatutnya berdasarkan kepada realiti yang ada di hadapan kita. Kalau ianya berdasar kepada realiti, teks yang sepatutnya yang diberikan kepada kita itu adalah sesuatu yang melambangkan kepentingan semua pihak.
“Tapi apabila kita dengar ada perkara-perkara yang kurang sana, kurang sini… maka saya terpaksa membangkitkan isu ini kerana saya percaya di mana kita nak merangka dokumen yang begitu besar untuk negara, sudah tentu kita perlu memakan masa dan penelitian 100 peratus.
“Namun, ramai, termasuk penganalisis yang agak keliru mendengar ucapan (Anwar) berbanding teks yang telah pun disediakan,” katanya, lapor Agenda Daily.
Leave a Reply