SEORANG buruh kilang dikhuatiri lemas, selepas hilang dibawa arus ketika cuba menyelamatkan anaknya daripada lemas di Sungai Lubuk Tapeng dekat Air Puteh di Kemaman, pukul 1.45 tengah hari tadi.
Ketua Polis Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mangsa, Mohd. Mirwan Mohd. Remli, 40, tenggelam dibawa arus sungai berkenaan.
“Sebelum kejadian mangsa bersama isterinya, Haryati Sulaiman, 36, serta anak mereka ke sungai itu untuk memancing dan mandi, mulai pukul 9.30 pagi.
“Ketika sedang mandi, anaknya Muhammad Zafran Aidil, 12, tiba-tiba dibawa arus dan hanyut sehingga ke tengah sungai.
“Mangsa dikatakan bertindak untuk menyelamatkan anaknya itu, namun isteri mangsa kemudiannya mendapati suaminya itu tenggelam.
“Bagaimanapun, anak mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada dahan pokok yang ada di sungai terbabit,” katanya dalam kenyataan.
Hanyan berkata, menyedari suami hilang, isterinya bergegas mendapatkan pertolongan daripada penduduk kampung sebelum datang ke balai polis membuat laporan.
Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba, Mohd. Hafiezul Mohamad berkata, seramai 16 anggota bomba dan penyelamat dari Balai Cheneh dan Chukai, bergegas ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilakukan membabitkan kerjasama daripada polis, Rela dan penduduk kampung.
“Seramai tujuh anggota Bomba dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut menyertai operasi ini dan setakat ini usaha pencarian mangsa masih belum berhasil,” katanya, lapor Berita Harian.
Leave a Reply