15 minit pujuk wanita cuba terjun jambatan kedua P. Pinang

ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang mengambil masa kira-kira 15 minit untuk memujuk seorang wanita yang cuba terjun dari Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah atau lebih dikenali sebagai jambatan kedua Pulau Pinang petang tadi.

Mangsa berusia 22 tahun yang dipercayai penuntut di sebuah universiti swasta itu dilaporkan cuba bertindak terjun di Kilometer (KM) 18.1 jambatan itu menghala ke bahagian pulau.

Terdahulu, mangsa turut bertindak meninggalkan kereta jenis Perodua MyVi berwarna putih miliknya di bahu jalan.

Menurut Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Azman Mohd. Radzi, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 4.02 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, maklumat awal yang diterima mengatakan wanita itu dilihat sudah berdiri di tembok jambatan berkenaan sejak pukul 3 petang.

“Sebaik sahaja anggota tiba di tempat kejadian, didapati wanita terbabit masih berdiri di situ dan berada dalam keadaan dehidrasi dan lemah kerana cuaca panas.

“Kami dengan kerjasama anggota polis mengambil masa kurang 15 minit untuk memujuk sebelum menariknya ke belakang.

“Wajah mangsa kelihatan sedih dan hanya mendiamkan diri,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah beliau, mangsa berjaya diselamatkan pukul 4.44 petang dan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, katanya, mana-mana individu yang mempunyai masalah kemurungan atau menghadapi tekanan boleh menghubungi Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) di 03-29359935 atau 014-3223392 atau Talian Kasih 15999/WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 untuk mendapatkan bantuan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *