SATU sindiket penipuan pelaburan yang beroperasi di beberapa negeri tumpas berikutan penahanan 29 individu dalam serbuan secara berasingan, Selasa lalu.
Kesemua suspek iaitu 19 lelaki dan 10 wanita berusia 24 hingga 38 tahun ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dalam serbuan secara berasingan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Johor.
Menurut Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, polis merampas 75 unit telefon bimbit, wang tunai RM14,501, komputer tiba, kereta, pasport, jam tangan, kad pelajar, barangan kemas, buku cek, cop dan beberapa dokumen lain.
Beliau berkata, sindiket itu adalah dalang di sebalik beberapa skim pelaburan disyaki palsu yang baru saja diwujudkan dan menawarkan pelaburan pada kadar pulangan yang tinggi.
“Tawaran itu dibuat melalui pelbagai medium laman sosial dan skim pelaburan berkenaan dikenali Alpha Mineral Global, Asia Investment VIP (AIV Trading), Max Profit Guides Empire (Max Profit) dan GGX Revolution And Management (CGC),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noorsiah berkata, semua sudah mendapat perintah tahanan reman antara satu hingga empat hari.
“Polis menjangkakan jumlah mangsa yang terbabit dengan sindiket ini adalah kecil memandangkan skim pelaburan itu baru saja diwujudkan.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Noorsiah berkata, mana-mana individu yang mungkin menjadi mangsa sindiket itu diminta untuk tampil membuat laporan di balai polis berdekatan.
“PDRM mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai sebarang skim pelaburan atau simpanan yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan.
“Dapatkan maklumat lanjut daripada sumber rasmi seperti Semak Mule, Alert List Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebelum membuat keputusan menyertai skim yang meragukan,” katanya, lapor Berita Harian.
Leave a Reply