Pelupusan hutang peneroka RM8.3 bilion selesai – Pengerusi Felda

PELUPUSAN sebahagian hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion daripada keseluruhan RM12.1 bilion sebagaimana inisiatif dimulakan pentadbiran bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai pada 2021.

Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh berkata, keputusan itu tidak pernah dibatalkan mana-mana kerajaan, termasuk kerajaan perpaduan dan semua peneroka yang menandatangani perjanjian menikmati manfaat dengan bayaran pinjaman jauh lebih rendah serta mampu dibayar.

“Buat masa ini, Felda tidak dapat melaksanakan pelupusan hutang kali kedua memandangkan pelupusan yang dilaksanakan pada 2021 memberi impak besar kepada aliran tunai Felda.

“Bayaran kembali baki pinjaman akan diteruskan seperti perjanjian pelupusan hutang tersebut demi menjamin kelangsungan organisasi dan membolehkan Felda terus menjaga kebajikan warga peneroka,” katanya dalam kenyataan, lapor Free Malaysia Today.

Dalam pada itu, Idris berkata, kerajaan melalui Felda komited untuk terus membantu peneroka dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif meningkatkan pendapatan mereka serta memastikan hutang ditanggung tidak terus meningkat.

“Komitmen ini terbukti apabila pada 2022, purata produktiviti ladang peneroka meningkat sehingga 19.43 tan per hektar setahun berbanding 17.29 tan per hektar setahun mewakili peningkatan lebih 12%.

“Ini sekali gus dapat memberikan pulangan pendapatan lebih tinggi kepada peneroka Felda,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan sedang menghentikan inisiatif dimulakan Muhyiddin dalam memansuhkan sebahagian pinjaman peneroka Felda.

Beliau berkata, kutipan untuk bayaran balik pinjaman perlu diteruskan kerana merupakan sumber pendapatan Felda bagi memastikan kelestariannya dan kebajikan peneroka.

Pada Julai 2021, Muhyiddin mengumumkan pentadbirannya bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion, tertakluk kepada syarat tertentu.

Ia termasuk pinjaman untuk latihan penanaman semula (92,441 peneroka), baja (52,180 peneroka), saham FGV Holdings Bhd (38,043 peneroka) dan modal pembangunan (6,711 peneroka).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *