SEKUMPULAN guru menjadi mangsa penipuan seorang wanita yang juga merupakan bekas calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) membabitkan tanah dan rumah di sekitar Taiping berjumlah ratusan ribu ringgit.
Bermodalkan sumbangan makanan dan wang tunai, wanita tersebut berjaya memancing guru-guru yang berhasrat membeli rumah dan tanah untuk hari tua mereka.
Seorang mangsa yang bertugas di sebuah sekolah di negeri itu berkata, wanita itu yang pernah menjadi Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolahnya menawarkan lot tanah kepadanya yang kebetulan sedang mencari sebidang tanah.
“Beliau meyakinkan saya memang ada sebidang tanah di Asam Kumbang dan menghantar gambar geran kepada saya. Katanya, itu tanah yang beliau boleh dapatkan atas kuota politik,” kata mangsa itu kepada MalaysiaNow.
Tambahnya, wanita yang juga menggunakan gelaran “Datuk Dr” itu mendakwa tanah berkenaan merupakan milik Jabatan Kastam Diraja yang ingin dilelong kepada orang awam.
Disebabkan keyakinannya kepada wanita itu, guru tersebut mula membuat pembayaran pada 2021.
Katanya, dua lagi guru yang dikenalinya turut terjerumus dalam pembelian itu yang turut membabitkan rumah kediaman selain tanah lot.
Ketiga-tiga mereka menghabiskan hampir RM400,000 untuk urusan pembelian dengan wanita tersebut.
“Saya tidak mengesyaki apa-apa kerana dia sering membuat sumbangan kepada sekolah.
“Lagipun, dia selalu menyebut bahawa dia mengenali tokoh-tokoh politik besar seperti Ketua Umno Bahagian Taiping, Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie, Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.”
MalaysiaNow tidak mendedahkan identiti wanita berkenaan sementara menunggu maklum balas daripadanya.
Katanya, sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, bekas calon itu turut mengadakan majlis bersama Saarani dan menjemput wakil daripada sekolahnya.
“Pada majlis itu, menteri besar memuji beliau kerana rajin membantu orang ramai tanpa mengharapkan duit daripada kerajaan.
“Rupanya duit sumbangan yang kononnya daripada dia sendiri selama ini sebenarnya duit mangsa-mangsa penipuan seperti kami,” tambahnya.
Tembelang wanita itu mula dihidu mangsa apabila mereka tidak menerima kunci, geran mahupun sebarang dokumen berkaitan pembelian hartanah mereka.
Menurut mangsa, wanita tersebut mula mengelak untuk berjumpa serta memberi alasan perlu menjalani rawatan kemoterapi untuk sakit kanser yang dihidapinya.
Penipuan wanita itu terdedah apabila mangsa meninjau keadaan rumah yang dikatakan ingin dijual kepadanya.
“Saya lihat rumah itu ada orang, jadi saya bertanyakan status pemilikan rumah.
“Rupanya ia dimiliki oleh ibu mertua rakan sekerja saya dan mereka tidak pernah tahu mengenai urusan penjualan rumah itu kepada saya.”
Wanita tersebut juga licik dalam modus operandi apabila meminta mangsa membuat pembayaran menggunakan mesin deposit tunai.
Akaun bank yang diberikan kepada mangsa juga berbeza-beza, daripada akaun anak sehingga akaun pembantu peribadi.
Seorang lagi guru di sekolah lain turut terkena apabila ditawarkan sebidang tanah pada harga kira-kira RM5,000.
Dia kemudian memujuk guru tersebut untuk menambah satu lot lagi.
“Saya membayar kira-kira RM10,000 untuk dua lot tanah. Dia kemudian berkata geran akan siap dalam masa dua bulan.
“Dari situ saya tahu yang saya sudah terkena. Kerana urusan geran mengambil masa enam ke tujuh bulan berdasarkan pengalaman sebelum ini.
“Dia ada tawarkan lebih banyak lot, namun saya menolak,” katanya.
Guru itu juga tidak mengesyaki apa-apa kerana percaya kepada ketokohan wanita berkenaan.
Sementara itu, peguam yang mengendalikan kes ini, Mohammad Na’im Samsul Hairi berkata pihaknya sedang menilai semua kes penipuan itu.
“Memang ada tindakan yang boleh dibawa ke mahkamah terhadap wanita itu.
“Mangsa juga ramai dan kes ini boleh dikatakan ada prima facie dan locus standi,” katanya lapor Malaysianow.
Leave a Reply