AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, sah menghantar borang pencalonannya bagi merebut jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti itu Mac ini.
Ini menjadikan Azalina sebagai satu-satunya calon wanita yang mencabar jawatan nombor tiga parti itu setakat ini.
Pegawai kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) mengesahkan penyertaan Ahli Parlimen Pengerang itu
Menurutnya, Azalina menghantar borang pencalonannya pada pukul 12 tengah hari tadi di Auditorium UMNO di Menara Dato’ Onn, hari ini.
“Datuk Seri Azalina Othman Said sudah menyerahkan borang pencalonan bagi bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan UMNO Penggal 2023-2026 di Ibu Pejabat UMNO pada jam 12 tengah hari hari ini,” katanya, lapor Berita Harian.
Penyertaan Azalina itu melengkapkan senarai sekurang-kurangnya lapan pemimpin UMNO yang sudah menghantar borang pencalonan bagi merebut jawatan itu menjelang tempoh akhir pencalonan esok.
Selain Azalina, turut mengemukakan borang pencalonan Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Selain itu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad; Ahli MKT, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Hanya seorang penyandang Naib Presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera belum mengesahkan diri sama ada mempertahankan jawatannya dalam parti atau sebaliknya.
Azalina sebelum ini pernah memegang jawatan Ketua Puteri UMNO, sebelum merebut jawatan Ahli MKT UMNO.
Leave a Reply