TUN Dr Mahathir Mohamad bersama 13 lagi bekas ahli Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) sah menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) hari ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh bekas Ahli Majlis Eksekutif Pusat PEJUANG, Armin Baniaz Pahamin di laman Facebook.
Armin berkata Dr Mahathir mendaftar keahlian bagi meneruskan perjuangan politiknya bersama PUTRA.
“Misi dan matlamat kita perlu jelas untuk menjayakan sesuatu perjuangan. Perjuangan utama ialah untuk penyatuan orang, parti dan pertubuhan Melayu.
“Doakan semoga Allah permudahkan perjuangan kami. Hanya melalui penyatuan orang-orang Melayu dapat kita bersatu menyelesaikan masalah bangsa demi agama dan tanah air,” katanya.
Sebelum ini, Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau menganggap jemputan untuk menyertai PUTRA sesuai dengan perjuangan dan prinsip politiknya iaitu membela nasib orang Melayu dan menolak amalan rasuah.
Beliau juga berharap dapat memberi panduan kepada PUTRA dan meneruskan perjuangan serta mencapai matlamat untuk selamatkan kaum Melayu di negara ini.
Leave a Reply