BELANJAWAN 2023 tidak mencerminkan semangat Federalisme yang matang dalam pimpinan kerajaan pada hari ini, kata Ahli Parlimen Bachok Mohd. Syahir Che Sulaiman.
Katanya, Kelantan dan Terengganu seperti dianaktirikan dengan pemberian wang ehsan.
“Di samping pendirian terbaru Kerajaan Persekutuan berkenaan hak royalti minyak kepada Kelantan dan Terengganu yang dinafikan.
“Malah agihan Perbelanjaan Pembangunan (DE) kepada negeri-negeri pembangkang tidak menunjukkan petanda yang positif,” katanya lapor Harakah Daily..
Mohd Syahir yang juga pengkaji ekonomi turut mempersoalkan, sejauh mana Belanjawan 2023 boleh melonjakkan pertumbuhan ekonomi, mencipta peluang pekerjaan, dan meringankan beban hidup rakyat.
Beliau turut mempersoalkan, sama ada strategi yang diambil menepati sasaran serta inisiatif baharu yang diambil kerajaan mencukupi atau tidak.
Kata beliau, apa yang penting adalah kualiti penyampaian dan keberkesanan segala bantuan dan projek yang diumumkan, diikuti proses pemantauan berterusan, dipandu oleh kecekapan dan integriti yang tinggi di pihak kerajaan, tanpa sebarang unsur pilih kasih dan ‘sabotaj ekonomi’ yang tidak melambangkan agenda perpaduan dan slogan madani.
“Manakala akses dan kecaknaan rakyat terhadap segala bantuan kerajaan perlu dipertingkatkan, bagi memastikan Belanjawan 2023 dapat diagih secara saksama, dan dikongsi secara bersama.
“Perlu diingatkan, matlamat utama sesebuah perancangan pembangunan adalah untuk memberi nilai tambah dan limpahan berganda bagi meningkatkan tahap sosioekonomi dan daya saing negara, seterusnya memastikan kemakmuran ekonomi dinikmati secara lebih adil dan saksama,” katanya.
Selain itu katanya, pemulihan ekonomi perlu menjadi ‘batu lonjakan’ kepada pembaharuan ekonomi.
Mohd. Syahir berkata, inilah peluang keemasan untuk penyusunan semula struktur ekonomi negara, khususnya bagi menangani permasalahan kemiskinan, pendidikan dan kemahiran tempatan, kelestarian alam, sekuriti makanan, keupayaan globalisasi, dan ketinggian integriti.
“Adalah amat mendukacitakan sekiranya kita mampu memulihkan semula ekonomi negara, namun hanya kembali ke tahap sosio-ekonomi sebelumnya, tanpa membawa sebarang ‘perubahan struktural’ dan ‘budaya ekonomi baharu’ bagi mendepani cabaran mendatang yang pastinya lebih mencabar,” katanya
Leave a Reply