Kanak-kanak perempuan maut kebakaran rumah

Oleh BADLISHAH MAT

SEORANG kanak-kanak perempuan meninggal dunia akibat kebakaran yang berlaku di rumah keluarganya di Kampung Besah, Kuala Ketil di Baling, pagi tadi.

Mangsa, Nor Batrisha Razali, 12, ditemukan oleh anggota bomba yang memadam kebakaran terbabit di dalam bilik tidur kediaman itu.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd. Hamizi Wan Mohd. Zin, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.08 pagi.

“Hasil pemerhatian pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati, kebakaran terbabit dipercayai bermula pada bahagian dalam bilik tidur.

“Rumah tersebut yang berkeluasan 40 kaki x 20 kaki didapati terbakar kira-kira 90 peratus dan kerja-kerja ‘overhaul’ kini sedang dijalankan oleh anggota di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Wan Mohd. Hamizi, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling bersama sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *