JAWATAN Naib Presiden UMNO yang dipertandingkan pada pemilihan parti tidak lama lagi terus menarik penyertaan daripada ramai pemimpin kanan UMNO.
Terbaru, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, hari ini mengesahkan bertanding merebut jawatan itu, sekali gus pemimpin keempat berbuat demikian.
Sebelum ini, penyandang Naib Presiden iaitu Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid sudah menyerahkan borang pencalonan bagi mempertahankan jawatan masing-masing.
Lapor Berita Harian, Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, menghantar borang pencalonannya di Auditorium UMNO di Menara Dato’ Onn pagi ini, dengan tempoh pencalonan juga masih dibuka sehingga Ahad ini.
Selain Johari, seorang lagi Ahli MKT, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut menghantar pencalonannya bagi jawatan sama.
Selain lima pemimpin UMNO itu, turut dikhabarkan dijangka mengemukakan pencalonan bagi jawatan Naib Presiden, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Selain itu, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir Hasni Mohamad, juga dikatakan mengintai peluang sama.
Selepas Khaled dan Mahdzir mengesahkan mempertahankan jawatan, kini hanya tinggal Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang juga bekas Perdana Menteri belum memutuskan sebarang pendiriannya mengenai kedudukan jawatannya.
Leave a Reply