ISTERI penyanyi popular era 1980-an, Ibnor Riza, iaitu Sarimah Sulaiman mengaku berdepan kekangan dalam menampung kos perubatan suaminya yang kini terlantar di hospital.
Menurutnya, Ibnor masih dirawat di Hospital Port Dickson (HPD) akibat pelbagai komplikasi penyakit seperti leher membengkak, darah tinggi, kencing manis, hilang suara, migrain dan tahap kolesterol kritikal mengakibatkannya hilang mata pencarian.
Keadaan itu membuatkan Sarimah, 51, merendah diri mengharapkan orang ramai menghulurkan bantuan dalam bentuk apa sekalipun, bagi meringankan beban selepas suami bertarung dengan tahap kesihatan membimbangkan, sejak tiga bulan lalu.
“Kami sekeluarga bimbang dengan keadaan semasa Ibnor. Kami harap doa daripada semua pihak. Ibnor adalah ketua keluarga, jadi, apabila suami jatuh sakit, kami berdepan kesukaran.
“Saya mohon bantuan untuk menampung kos perjalanan bagi tujuan rawatan suami di hospital. Ini juga cadangan daripada kenalan terdekat. Tetapi, saya tak sempat (suarakan) kerana perkara ini berlaku pantas.
“Jadi, jika ada yang sudi beri bantuan kewangan terutamanya, kami sangat berterima kasih,” katanya kepada BH Online.
Bagaimanapun, Sarimah bersyukur rakan-rakan Ibnor yang bergiat dalam dunia seni tidak lokek tampil menghulurkan bantuan.
“Rakan-rakan artis banyak membantu, antaranya, Datuk Nash dan Datuk DJ Dave. Ini sedikit sebanyak memudahkan urusan rawatan suami,” katanya.
Ditanya keadaan Ibnor selepas dilaporkan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), selepas pengsan di kediamannya, Ahad lalu, Sarimah berkata, doktor masih mencari punca masalah kesihatan suaminya itu.
“Sekarang, suami sudah dimasukkan ke wad biasa. Doktor masih siasat bengkak pada lehernya. Doktor masih belum ambil sebarang tindakan kerana dikhuatiri memberi kesan kepada jantung.
“Suami kerap pengsan disebabkan saraf antara otak ke jantung membengkak. Doktor beritahu, keadaan itu membuatkan oksigen tidak sampai ke otak hingga menimbulkan pelbagai masalah.
“Sebelum ini, suami sudah buat CT Scan (imbasan tomografi berkomputer), ambil air tulang belakang, vaksin dan sebagainya. Namun, masih belum nampak perubahan,” katanya.
Sarimah berkata, suaminya sukar bertutur dengan baik dan masih dipantau doktor.
“Suami boleh bercakap, tetapi tidak berapa jelas kerana dia masih pening. Sejak tiga bulan lalu, kalau suami bercakap, suaranya perlahan kerana angin banyak keluar.
“Kalau bercakap lama, suami penat. Tetapi selepas masuk ke wad biasa dan doktor buka tiub oksigen di mulut, suami boleh bercakap dengan lebih baik,” katanya.
Bulan lalu, Ibnor yang berasal dari Batu Kikir, Negeri Sembilan, mula dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan disahkan menghidap ‘Vocal Cord Palsy’ yang membuatkan dirinya sukar bercakap akibat bengkak dialami pada leher.
Leave a Reply