Hasni,Johari mampu beri nafas baru kepada UMNO

PERSAINGAN bagi kerusi Naib Presiden UMNO semakin menarik, apabila hari ini dua lagi calon menghantar borang pencalonan. Kedua-dua mereka bukanlah calang-calang individu sebaliknya mempunyai rekod yang pastinya akan memberi pilihan terbaik kepada ahli UMNO jika mahu melakukan perubahan dalam parti itu.

Dua individu tersebut ialah Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani dan Ahli Parlimen Simpang Renggam Datuk Seri Hasni Mohammad.

Menariknya dua calon itu yang kali pertama bertanding jawatan berkenaan menyerahkan borang pencalonan untuk menjadikan setakat ini empat calon mengesahkan penyertaan mereka. Dua calon sebelum ini ialah penyandang jawatan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Seorang lagi penyandang jawatan itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka membuat keputusan selewat-lewatnya Ahad ini sama ada akan mempertahankan kedudukannya atau tidak.

Nama lain yang disebut-sebut akan menawarkan diri ialah Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

Bagaimanapun berbanding calon lain, kehadiran Johari dan Hasni seolah-olah boleh memberi nafas baru kepada saf kepemimpinan UMNO selepas arus gelombang mahu perubahan ‘tersangkut’ sedikit apabila jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan manakala beberapa pemimpin berpotensi dipecat atau digantung keahlian.

Namun dengan kesediaan Johari dan Hasni  bertanding ditambah pula dengan kesudian Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil untuk kembali menerajui Wanita UMNO, sudah tentulah ia akan menggembirakan ahli-ahli di peringkat akar umbi yang kita tahu mempunyai pendirian berbeza dengan ketua-ketua bahagian.

Johari dan Hasni disifatkan mampu membawa perubahan dan menyumbang kepada usaha kebangkitan semula UMNO yang kini sudah ditolak oleh rakyat hampir secara total.

Dengan hanya memiliki 15 kerusi di Parlimen, UMNO kini ibarat ‘hidup segan mati tak mahu’ dan disifatkan menjadi parti tempelan dalam Kerajaan Perpaduan yang turut dianggap musuh ketat UMNO suatu ketika dahulu iaitu DAP. 

Hasni dan Johari dilihat pemimpin masa depan kepada UMNO dan boleh disandarkan harapan oleh ahli-ahli UMNO. Johari walaupun pernah tewas dalam PRU-14 tetapi bangkit semula pada PRU-15 di Parlimen Titiwangsa.

Bagi Hasni pula, kewibawaan dan kemampuan sebagai seorang pemimpin tidak dapat dinafikan oleh sesiapa. Beliau memimpin BN Johor menang cemerlang dalam PRN tetapi sekadar menjadi ‘poster boy’ bukannya meneruskan tugasnya sebagai Menteri Besar yang diambil alih oleh Onn Hafiz.

Lebih perit lagi, walaupun meneruskan kecemerlangan dalam PRU-15 namun rupa-rupanya ia bukanlah ukuran untuk Hasni kekal sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, tempat beliau diambil alih oleh Khaled yang ketika menjadi Menteri Besar Johor pada PRU-14 gagal mempertahankan kuasa pemerintahan BN di Johor. 

Kenapa Hasni diganti sebagai MB dan Pengerusi Perhubungan UMNO, usah diperkatakan lagi, ia sudah menjadi rahsia umum. Tetapi apa yang penting penawaran diri beliau untuk bertanding jawatan Naib Presiden akan memberi peluang kepada ahli-ahli UMNO untuk meletakkan pemimpin seperti Hasni di tempat sewajarnya bukannya dipinggirkan.

Kesimpulannya, ahli-ahli UMNO tidak harus melepaskan peluang melalui pemilihan parti itu beri isyarat kepada kepemimpin parti, pemimpin seperti manakah yang mereka mahukan memimpin UMNO. 


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *