HANYA kerana sekeping roti seorang banduanwarga yang bertarung nyawa sejak seminggu lalu selepas dipercayai dipukul rakan sebiliknya, disahkan meninggal dunia, di Hospital Melaka, petang semalam.
Berita Harian melaporkan lelaki berusia 47 tahun disyaki terbabit pergaduhan dengan rakan sebiliknya berusia 33 tahun selepas dikatakan mengambil roti milik lelaki itu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian itu berlaku di Penjara Sungai Udang, kira-kira jam 2 petang, pada 17 Februari lalu, dan disedari oleh warden ketika melakukan kawalan penjara, kira-kira 15 minit kemudian.
“Daripada siasatan dijalankan, kejadian didakwa berpunca apabila suspek yang baharu selesai sembahyang didatangi mangsa dan dia kemudian bertanya adakah lelaki itu ada mengambil bahagian roti miliknya sebelum bertindak memukul mangsa kerana tidak berpuas hati warga asing terbabit meninggikan suara kerana menafikan hal itu.
“Punca kejadian dipercayai kerana mangsa dikatakan mengambil makanan yang dibekalkan oleh pihak penjara kepada suspek, menyebabkan dia tidak dapat makan. Suspek didakwa turut bertindak memijak bahagia peha mangsa beberapa kali selepas dia terjatuh selain menendang ke arah dada sebelum menghumban ke kawasan bilik air,” katanya.
Beliau berkata, ketika kejadian pintu bilik berada dalam keadaan terbuka dan ketika itu hanya terdapat mangsa serta suspek sahaja kerana banduan yang lain sedang menjalani aktiviti riadah bebas.
“Mangsa dan suspek adalah rakan sebilik. Mangsa kini sedang menjalani hukuman dibawah Akta Imigresen manakala suspek pula menjalani hukuman selama 13 tahun dibawah Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan,” katanya.
Christopher berkata, mangsa yang mengalami kecederaan kemudian dibawa ke klinik penjara (RSD) sebelum dihantar ke Hospital Melaka bagi rawatan lanjut.
“Doktor yang merawatnya mengesahkan mangsa mengalami kecederaan pendarahan dalam kepala, benjol di bahagian kiri kepala, luka mata dan telinga kiri.
“Dia kemudian disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6.28 petang semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Leave a Reply