Oleh RIZQI ZABIDI
PERJALANAN lebih 500 penumpang tergendala selama beberapa jam apabila feri dinaiki mereka dari Langkawi ke Kuala Perlis, tersangkut di kawasan beting pasir, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Noor Azreyanti Ishak berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerima panggilan mengenai kejadian itu dari Jabatan Laut Malaysia (JLM) kira-kira pukul 9.15 malam.
Katanya, Feri Express Bahagia 168 yang membawa 511 penumpang itu terkandas di posisi 0.8 batu nautika, muara Kuala Kedah.
“Feri itu terkandas apabila paras air laut surut menyebabkannya tersangkut di kawasan beting lumpur.
“Bot Perkasa 1224 kemudiannya diatur gerak ke lokasi sebaik menerima aduan bagi menjaga keselamatan dan membantu pihak feri serta JLM,” katanya.
Tambahnya, feri tersebut berjaya ditunda balik oleh bot penunda milik sebuah syarikat kargo di Kuala Kedah dengan diiringi Perkasa 1224 kira-kira pukul 11.15 malam.
“Operasi dikendalikan Maritim Rescue Sub-Cebtre (MRSC) Langkawi itu selesai kira-kira pukul 12 tengah malam.
“Antara agensi sahabat yang terlibat ialah Jabatan Laut Malaysia (JLM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),” katanya.
Menurutnya, Maritim Malaysia mengalu-alukan orang ramai menyalurkan sebarang maklumat dan aduan sekiranya berlaku insiden kecemasan di laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.
Leave a Reply