Wanita melecur pada badan, muka tong gas meletup

SEORANG wanita berusia 54 tahun melecur pada bahagian badan dan muka selepas tong gas di rumah sewanya di Flat Taman Sri Bayu, Bayan Lepas, Pulau Pinang meletup dalam kejadian awal pagi tadi.

Mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan jirannya yang menyedari kejadian itu yang berlaku kira-kira pukul 9 pagi.

Difahamkan, mangsa yang hanya menyewa bilik di kediaman itu berada seorang diri ketika kejadian.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Balik Pulau, Zaiful Arif Mat Ariffin berkata, pihkanya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 9.18 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik sahaja anggota tiba di tempat kejadian didapati berlaku kebocoran gas sehingga menyebabkan letupan di dalam rumah.

“Terdapat seorang mangsa wanita melecur hampir 60 peratus pada badan dan muka. Kebakaran terlebih dahulu dipadamkan oleh jiran mangsa sebelum pihak bomba tiba di lokasi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut beliau, operasi menyelamat tamat sepenuhnya pukul 10 pagi dan mangsa telah diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *