KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki menegaskan, agensi bukan menjadi alat kerajaan.
Katanya, agensi berkenaan tidak pernah memilih untuk melakukan siasatan.
“Sekiranya anda melihat rekod dari 2006 hingga sekarang, kami sangat konsisten.
“Sebagai contoh pada 2016, SPRM memfokuskan kes membabitkan jumlah besar dana awam, seperti isu 1MDB dan skandal air Sabah.
“Jadi, tiada alasan untuk sesiapa melabelkan kami alat, tidak kira parti mana menjadi kerajaan, SPRM tetap konsisten,” katanya menjawab soalan berhubung kritikan terhadap agensi itu, lapor FMT.
Kelmarin, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, mendakwa parti itu menjadi mangsa pendakwaan terpilih selepas bekas ketua penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan didakwa atas tuduhan rasuah.
Semalam, bekas ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu Mahkamah Tinggi ketika perbicaraan rasuahnya, seorang pegawai SPRM memaklumkan agensi anti-rasuah itu ‘digunakan’ setiap kali berlaku pertukaran kerajaan.
Sebelum ini, terdapat gesaan supaya SPRM diletakkan di bawah Parlimen untuk memastikan kekal bebas.
Leave a Reply