SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkait program Jana Wibawa masih diteruskan.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan berkenaan juga masih belum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.
“Belum lagi. Masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media hari ini di Putrajaya, lapor Berita Harian.
Ditanya sama tindakan Muhyiddin yang memberi kenyataan dianggap mengganggu siasatan, beliau bagaimana enggan mengulas perkara itu.
“Itu saya tidak boleh komen tapi siasatan terhadapnya yang dijalankan kita teruskan seperti biasa,” katanya.
Sabtu lalu, Muhyiddin mengesahkan beliau sudah memberi keterangan kepada SPRM mengenai projek Jana Wibawa.
Keterangan diberi adalah berkait penganugerahan kepada kontraktor dipilih di bawah projek berkenaan, yang didakwa pihak tertentu bahawa berkemungkinan wujud tatacara perolehan tidak mengikut peraturan ditetapkan.
Muhyiddin menjelaskan, agensi itu memaklumkan beliau dipanggil memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan dan bukan suspek yang dikaitkan untuk sebarang tindakan pendakwaan.
Ditanya sama ada akan ada lagi kertas siasatan dibuka berkait kes itu, Azam berkata ‘tiga atau empat’ lagi kertas siasatan berkaitan kes itu yang sedang disiapkan untuk diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.
“Siasatan masih lagi dijalankan seperti saya sebut sebelum ini di mana beberapa kertas siasatan telah dibuka, yang telah siap kita kemuka ke peguam negara dan sudah pun dijalankan pertuduhan.
“Ada beberapa kertas siasatan yang masih lagi dijalankan siasatan dan pegawai saya sedang menyiapkan kertas siasatan berkenaan.
“Jadi saya tidak menolak, mana-mana pihak pun bukan sahaja pemimpin sekiranya terbabit dalam menerima suapan untuk sesuatu perkara yang menyalahi akta kita maka akan dicadangkan pertuduhan di mahkamah,” katanya.
Ditanya dakwaan beberapa pihak bahawa SPRM menjalankan pendakwaan terpilih, Azam menegaskan, SPRM menjalankan siasatan dengan profesional dan agensi itu bergantung kepada aduan dan maklumat diterima.
“Bila kita terima satu maklumat dan aduan dan ia mengandungi kesalahan jenayah dan di bawah akta kami maka siasatan akan dijalankan.
“Seperti saya sebut sebelum ini, kita bukan satu alat untuk mana-mana parti politik, kita jalankan siasatan berdasarkan maklumat yang ada, tiada pendakwaan terpilih dalam isu ini,” katanya.
Sebelum ini Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU mendakwa parti itu menjadi mangsa ‘pendakwaan terpilih’ selepas ketua penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan didakwa atas dakwaan rasuah RM6.9 juta.
Beliau berkata, setiap parti politik memerlukan dana untuk menjalankan aktiviti parti dan Perlembagaan membenarkan sumbangan diterima daripada ahli, orang ramai dan juga individu yang menyokong perjuangan parti.
Leave a Reply