PERIKATAN Nasional (PN) masih dalam proses memuktamadkan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan parti komponennya di enam negeri dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perbincangan antara parti-parti komponen berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah.
“Masih belum dimuktamadkan, tetapi kami sudah beberapa kali bincang kerusi-kerusi yang akan diagihkan kepada parti-parti dalam PN. (Perbincangan) kami macam adik-beradik (tiada masalah),” katanya kepada pemberita di Bangunan Parlimen hari ini.
Hamzah berkata, PN juga akan membincangkan mengenai penggunaan logo yang bersesuaian di negeri-negeri yang ditadbir PAS iaitu di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Semalam, menteri besar dan ketua menteri dari enam negeri mencapai kata sepakat untuk menimbangkan pembubaran DUN masing-masing dalam dua minggu terakhir pada Jun nanti bagi memberi laluan kepada PRN tahun ini.
Dalam pada itu mengulas laporan mengenai Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dikatakan meminta PN memperuntukkan sejumlah kerusi kepada parti itu, Hamzah berkata ia menunjukkan bekas menteri besar Kedah itu sedang berada dalam keadaan terdesak.
Leave a Reply