Pemilihan UMNO: Mahdzir pertahan jawatan naib presiden

NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengumumkan akan terus mempertahankan jawatan yang disandangnya dalam pemilihan parti bulan depan.

Menurut Mahdzir, beliau ingin terus memberi sumbangan kepada parti khususnya bagi membantu kepimpinan tertinggi menempuhi keadaan politik yang mencabar pada masa ini.

“Suka cita saya umumkan akan menawarkan diri sekali lagi untuk bertanding dan mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO.

“Ketika ini UMNO berada dalam situasi yang amat mencabar dan saya ambil pendirian untuk meneruskan perjuangan dan khidmat bakti saya kepada parti ini.

“Saya menawarkan diri bersama-sama dengan saf kepimpinan untuk membantu kepimpinan tertinggi presiden UMNO (Ahmad Zahid Hamidi) dan Timbalan Presiden UMNO (Mohamad Hasan),” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini, lapor Malaysiakini.

Dalam pemilihan kali ini, Mahdzir yang meruakan bekas menteri pembangunan luar bandar dan memegang jawatan itu sejak 2018 menjelaskan akan bergerak secara sendirian tanpa menyertai mana-mana kem.

Namun pada Pilihan Raya Umum Ke-15, beliau gagal mempertahankan kerusi Parlimen Padang Terap yang dipegangnya sejak 2013 selepas tewas di tangan Nurul Amin dari PN dengan perbezaan 10,959 undi.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, beliau membawa gagasan kebersamaan dalam pemilihan UMNO kali ini bagi memulihkan semula parti.

“Kebersamaan itu penting, disiplin juga kena ada. Jadi, kebersamaan dan disiplin dalam parti penting untuk kita bawa. Perbezaan pendapat boleh dinyatakan tetapi apabila keputusan dibuat parti, kita akur,” katanya.

Katanya menambah, beliau telah menyerahkan borang pencalonan kepada sekretariat pemilihan di ibu pejabat UMNO hari ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *