Oleh RIZQI ZABIDI
SEBANYAK 1.8 tan metrik dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM64.8 juta dirampas dalam pemeriksaan bersepadu dijalankan di sekitar Jalan Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis Ahad lalu.
Rampasan tersebut yang merupakan terbesar di Malaysia untuk tahun ini dibuat dalam pemeriksaan dijalankan kira-kira pukul 4 pagi dengan pihak polis turut menahan lima suspek membabitkan empat lelaki dan seorang wanita.
Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, mereka yang ditahan berusia antara 29 hingga 49 tahun.
“Salah seorang suspek turut cuba menawarkan wang sogokan berjumlah antara RM200,000 kepada sepasukan anggota polis yang terlibat dalam operasi tersebut sebagai habuan bagi menutup kes itu.
“Kegiatan haram itu berjaya dikesan setelah pihak polis memeriksa sebuah lori satu tan yang sedang ditunda sebuah lori lain,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di Kangar.
Tambahnya, taktik licik itu bagaimanapun gagal mengelirukan pihak berkuasa yang terus memeriksa lori berkenaan.
“Pemeriksaan dijalankan menemukan dadah jenis syabu seberat 1.8 tan dianggarkan bernilai RM64.8 juta,” katanya.
Tambahnya, kesemua pegawai dan anggota polis terlibat menolak wang sogokan ditawarkan seorang suspek sebanyak RM200,000 bagi menutup kes tersebut.
“Wang itu dirampas untuk tindakan di bawah langkah pencegahan rasuah,” katanya.
Menurutnya, ujian urin dijalankan mendapati dua individu ditahan positif dadah jenis methamphetamine.
Selain itu, polis turut menyita pelbagai aset lain milik suspek bernilai RM406,603.65 membabitkan tiga buah kenderaan, 31 barang kemas, seutas beg tangan mewah dan wang tunai.
“Kesemua dadah itu jika terlepas di pasaran mampu menampung keperluan kira-kira sembilan juta penagih. Dipercayai dadah tersebut untuk dipasarkan di semenanjung tanah air.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan pihak kami tidak menolak kemungkinan tangkapan lain selepas ini,” katanya.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek direman selama tujuh hari bermula Ahad lalu sehingga Sabtu ini.
Leave a Reply