Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor merampas susu tepung, suplemen makanan dan kosmetik bernilai lebih RM400,000 selepas melakukan serbuan di serbuan premis di kedai di Jalan Alsagoff, Pontian, pada 17 Januari lalu.
Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, serbuan dilakukan sepasukan Bahagian Penguatkuasaan Kastam Marin, Sungai Pulai pada pukul 12.30 tengah hari.
“Hasil pemeriksaan dalam premis tersebut menemukan sejumlah dagangan susu tepung, suplemen makanan dan kosmetik pelbagai jenama disyaki barang tidak berkastam yang disimpan dalam premis berkenaan.
“Anggaran keseluruhan nilai barang yang dirampas sebanyak RM403,867 dan anggaran jumlah duti serta cukai yang terlibat adalah sebanyak RM67,372.

“Seorang lelaki warganegara tempatan dan empat wanita terdiri daripada dua wanita tempatan serta dua wanita warga asing ditahan untuk membantu siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Penguatkuasaan JKDM Sungai Pulai, Gelang Patah, Iskandar Puteri, hari ini.
Beliau berkata, modus operandi penyeludupan mereka dengan menjadikan premis pemborong sebagai tempat penyimpanan dagangan susu tepung, suplemen dan kosmetik.
Jelasnya, barang dagangan berkenaan dipercayai akan diedar ke pasaran tempatan dengan cara menjualnya secara dalam talian.
Sementara itu, beliau berkata, JKDM Johor melakukan serbuan di sebuah premis yang dijadikan tempat penyimpanan dan penjualan minuman keras di Kawasan Perindustrian SME Indahpura, Kulai, pada pukul 11.20 pagi, 1 Januari lalu.
Katanya, hasil pemeriksaan dalam premis tersebut, pihaknya menemukan 10,815 tin dan botol minuman keras bersamaan 4,458.48 liter pelbagai jenama.

Anggaran dagangan barang dirampas itu katanya, bernilai RM17,800 manakala jumlah duti dan cukai terlibat RM66,300.
“Tiga lelaki terdiri daripada seorang warga tempatan, dua warga asing dan seorang wanita warga tempatan telah ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.
Sazali berkata, suspek kedua-dua bagi kes berkenaan berusia 25 sehingga 45 tahun dan merupakan pekerja serta penyelia.
Katanya, kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Leave a Reply