‘Beli ‘submarine’ berbilion, tapi kediaman askar daif’ – Shafie Apdal

DATUK Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) mempersoalkan langkah kerajaan yang perlahan dan tidak bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan kemelut anggota keselamatan negara terutamanya isu kebajikan mereka melibatkan kuarters kediaman di kem-kem tentera di seluruh negara.

Menurut beliau, ketika faktor keselamatan dunia semakin mencabar kerajaan perlu mementingkan aspek keselesaan dan kebajikan mereka supaya dapat melahirkan satu suasana tentera yang boleh mencurahkan bakti dalam keadaan yang terbaik.

Namun katanya, beliau berpandangan kerajaan seolah-olah tidak bersungguh-sungguh menyelesaikan kemelut itu apabila tiada cadangan dan langkah yang kukuh untuk menaiktaraf kebajikan para tentera.

“Kita mampu beli ‘submarine’, kita mampu beli peralatan berbilion ringgit tapi masa saya jadi timbalan menteri pertahanan, saya masih ingat satu bilik sahaja.

“Di situlah anak tidur, mak tidur dan anak belajar. Bayangkan,” katanya dalam celahan sewaktu sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini, lapor MalaysiaNow.

Sebelum ini, beberapa ahli Parlimen pernah membangkitkan isu yang sama kepada Kementerian Pertahanan melibatkan isu kebajikan tentera dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Antaranya melibatkan isu kediaman yang semakin daif dan kadar pencen yang lapuk dan tidak munasabah dengan keperluan semasa.

Mengulas lanjut, Shafie mencadangkan supaya pihak menteri dan timbalan menteri pertahanan membuat lawatan dan tinjauan ke kem-kem tentera seperti di Sabah atau Langkawi bagi menyaksikan sendiri keadaan sebenar kediaman para tentera.

“Pergi buat lawatan di kawasan saya Semporna, Masya Allah bila saya lihat. Sebab itu masa saya jadi ketua menteri, saya beri peruntukan untuk bantu mereka.”

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari meminta ahli-ahli Parlimen supaya merujuk kepada Kertas Putih Pertahanan untuk lebih memahami Dasar Pertahanan Negara (DPN) yang turut menekankan isu kebajikan sosial warga pertahanan.

Katanya, terdapat lapan perkara diletakkan dalam laporan lengkap itu termasuk hala tuju dan masa depan kementerian, keselamatan dan kedaulatan negara.

“Sebab itu dalam Perkara 5 Kertas Putih Pertahanan itu ialah tentang warga pertahanan.

“Dan saya yakin bahawa kita di Kementerian Pertahanan sepanjang saya duduk beberapa bulan ini di kementerian dalam mesyuarat post Kabinet tak pernah terlepas dalam membicarakan persoalan tentang warga pertahanan itu sendiri,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *